FGV, MTSP Indera Mahkota, MPWP Indera Mahkota ceriakan raya 200 golongan memerlukan

FGV, MTSP Indera Mahkota, MPWP Indera Mahkota ceriakan raya 200 golongan memerlukan

KUANTAN: Seramai 200 penerima terdiri daripada golongan asnaf, pesakit kronik dan warga emas masing-masing menerima sumbangan RM300 bagi memberikan keceriaan kepada golongan tersebut ketika umat Islam masih lagi dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program Penyerahan Bantuan Hari Raya itu merupakan kerjasama strategik FGV Holdings Berhad, Majlis Tindakan Sosial Parlimen (MTSP) Indera Mahkota dan Majlis Pembangunan Wanita Parlimen (MPWP) Indera Mahkota.

Pada majlis itu, FGV turut menyalurkan peruntukan khas RM10,000 kepada mangsa ribut di Bukit Setongkol bagi meringankan beban sempena Hari Raya Aidilfitri.

Program ini dibiayai sepenuhnya melalui dana wakalah FGV serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saji Seikhlas Hati dilaksanakan melalui jenama tempatan terkenal, Saji.

Majlis yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, Balok itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd. Isa dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid.

FGV, MTSP Indera Mahkota, MPWP Indera Mahkota ceriakan raya 200 golongan memerlukan
RASTAM Mohd. Isa (dua dari kiri) menyampaikan bantuan khas RM10,000 kepada mangsa ribut di Bukit Setongkol bagi membantu meringankan beban mereka sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi MTSP Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FGV di atas komitmen dan sumbangan besar dalam menjayakan program tersebut.

“Ia contoh terbaik bagaimana kerjasama antara pihak korporat dan entiti masyarakat boleh membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

“Semoga kerjasama yang erat ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang, demi kesejahteraan rakyat di Indera Mahkota dan seluruh komuniti Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top