Fernandez gembira jadi sebahagian daripada sejarah Selangor FC

Fernandez gembira jadi sebahagian daripada sejarah Selangor FC

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ayam tambatan Selangor FC, Ronnie Fernandez akui gembira menjadi sebahagian daripada sejarah baharu bersama Red Giants selepas berjaya menjuarai Piala Cabaran, musim ini.

Fernandez yang berasal dari Chile adalah antara tulang belakang kepada kejayaan anak didik Katsuhito Kinoshi menjuarai trofi domestik pertama dalam tempoh 10 musim.

Malah lebih manis, Fernandez sendiri dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Cabaran musim ini ekoran aksi menakjubnya bersama Selangor FC.

“Saya sangat gembira menjadi juara bersama Selangor FC. Ini adalah detik bersejarah buat kelab selepas menanti selama 10 tahun untuk kembali merangkul trofi.

“Sebagai pemain bola sepak, peluang untuk bermain dalam final dan menjulang trofi bukan sesuatu yang mudah diperoleh.

“Ini adalah pencapaian yang sangat bermakna buat saya, pasukan, dan juga keluarga yang hadir menyaksikan kejayaan ini,” katanya selepas aksi final kedua itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya itu, Selangor FC menang bergaya dengan keputusan 4-0 sekali gus meraih agregat 7-0.

Fernandez sendiri turut meledak satu gol bersama Ali Olwan, manakala Yohandry Orozco mencetak dua gol.

“Menjadi pemain bola sepak profesional di luar negara bukan sesuatu yang mudah, dan untuk menjadi juara adalah satu pencapaian yang jarang dinikmati oleh ramai pemain.

“Saya bangga dapat membawa nama negara saya ke peringkat yang lebih tinggi dan memberikan penghormatan kepada keluarga serta pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top