Benteng bagi mengelakkan limpahan air laut yang semakin meningkat di Jakarta. Foto Agensi
JAKARTA – Rakaman video menjadi tular yang memaparkan utara Jakarta ditenggelami banjir akibat limpahan air laut bukan berpunca daripada hujan lebat berterusan.
Ketua Jabatan Sumber Air (SDA) DKI Jakarta, Ika Agustin Ningrum menjelaskan banjir kilat itu berlaku kerana fenomena air pasang yang meningkat secara maksimum disebabkan fasa bulan purnama (Supermoon).
“Permukaan air laut akan naik secara mendadak dan melimpah ke dataran rendah yang berada di pesisir pantai,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan tempoh banjir kilat itu berlaku bergantung kepada beberapa faktor seperti kitaran air pasang, topografi wilayah, dan keadaan cuaca.
Sejak pertengahan bulan lalu, beberapa lokasi di Jakarta Utara telah digenangi air dan antara yang terjejas teruk ialah Muara Angke, Penjaringan.
Banjir kilat di lokasi itu berlarutan selama tiga hari berturut-turut sebelum surut pada Ahad.
Paras air pada mulanya direkodkan setinggi 25 sentimeter sebelum mencecah sehingga satu meter.
Difahamkan, pemerintah telah melaksanakan langkah jangka panjang untuk menangani limpahan air laut ke darat dengan mempergiat projek pembinaan benteng perlindungan pantai sepanjang 39 kilometer di bawah Pembangunan Pantai Bersepadu Ibu Kota Negara (NCICD) Fasa A. – Agensi