Kuala Lumpur: Pelakon Nur Fazura tidak menyesal apabila perkahwinan yang dibina bersama Fattah Amin selama tujuh tahun berakhir dengan perpisahan.
Fazura berkata, dia kini bersemangat meneruskan kehidupan selain mengaku sudah memberikan yang terbaik sepanjang perkahwinan.
“Tentulah saya pernah memperjuangkan cinta. Saya sudah berkahwin selama tujuh tahun. Tetapi saya sudah berpisah bulan lalu.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur kerana dapat bangkit dan saya sudah memberikan yang terbaik kepada perkahwinan itu,” katanya.
Fazura berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu undangan dalam sebuah program di Indonesia, Sea Today bagi mempromosikan lagu baharunya bertajuk Bertahan Demi Cinta, baru-baru ini.
Menurut Fazura, lagu terbaharu itu menceritakan perjuangan pasangan suami isteri yang berusaha mempertahankan perkahwinan mereka.
“Lagu ini tentang lelaki dan wanita yang saling mencintai. Tentu saja dalam perkahwinan ada banyak dugaan.
“Jadi lagu ini mengenai bagaimana mereka memperjuangkan dan bertahan dalam setiap rintangan itu. Disebabkan itu tajuk lagu ini dinamakan Bertahan Demi Cinta,” katanya.
Difahamkan kemunculan Fazura dalam program itu menjadi penampilan pertamanya selepas sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu.
Untuk info lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Ippo Hafiz dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Indonesia, Hits Records pada 10 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd