Fayyad Affan selamat dikebumikan

Fayyad Affan selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Baling: “Cucu saya hilang hari Jumaat, jumpa pada Hari Raya Aidilfitri dan pada hari Jumaat jugalah dia dikebumikan,” kata Aziz Saad, 60.

Aziz adalah datuk kepada Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, kanak-kanak autistik yang ditemui meninggal dunia di Sungai Kupang, Isnin lalu.

Menurutnya, dia serta ahli keluarganya terutama ibu Fayyad Affan, Nur Atikah Yusuf, 27, serta bapanya, Mohd Fakhri Aziz, 30, bersyukur apabila jenazah anak sulung mereka dapat dituntut hari ini selepas empat hari berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

“Alhamdulillah, jenazah cucu saya akhirnya dapat dituntut dan selamat dikebumikan pada jam 5.30 petang tadi.

“Sebelum itu, jenazah cucu tiba jam 5 petang tadi dan disembahyangkan di Masjid Ehsaniah, Kupang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belakang Balai Polis Kupang, di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aziz berkata, mereka bersyukur kerana jenazah cucunya itu dapat dituntut segera iaitu dalam tempoh empat hari selepas proses bedah siasat serta menunggu ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Katanya, urusan pengebumian juga segera dilakukan memandangkan keadaan jenazah cucunya itu yang empat hari terendam dalam air Sungai Kupang.

“Walaupun kehilangan cucu sulung, saya anak dan menantu serta seluruh ahli keluarga yang lain reda dengan ketentuan Ilahi.

“Terima kasih kepada semua yang terbabit terutamanya pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, pasukan sukarelawan, penduduk kampung dan semua yang berusaha mencari Fayyad Affan selama empat hari kehilangannya,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki autistik, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, dilaporkan hilang dari rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mayat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai Muhammaf Fayyad Affan ditemui di Sungai Kupang, kira-kira 500 meter dari rumahnya oleh ahli keluarga mereka yang melakukan pencarian pada Hari Raya Aidilfitri, Isnin lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top