Terdapat banyak fatwa mengenai tabarruk, tawassul dan istighathah di peringkat antarabangsa dunia Islam dan juga fatwa tempatan di Malaysia.
Contohnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan pada 4 Januari 2012 memfatwakan bahawa antara kepercayaan, perbuatan dan pengamalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) ialah menganggap syirik terhadap amalan ahli sunah seperti Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah. Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 25 Mei 2012 bersetuju untuk melarang pembidaahan dan penghinaan terhadap amalan ASWJ, antaranya ialah tawassul.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 17 Disember 2014, 25 Februari 2015 dan 24 Mac 2015 memutuskan bahawa antara kepercayaan, perbuatan serta pengamalan yang bercanggah dengan ASWJ ialah menganggap syirik amalan ahli sunah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah serta selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah seperti Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah.
Jawatankuasa itu juga pada 31 Mei 2016 memutuskan Sighah Fatwa Bagi Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furuk seperti berikut:
(a) Persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bidaah kerana amalan itu telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu.
(b) Pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.
(c) Antara amalan yang didakwa sebagai bidaah adalah amalan bertawassul dan bertabarruk.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan pada 19 Mei 2015 bahawa antara ciri fahaman daripada sudut akidah yang bercanggah dengan ASWJ ialah menganggap syirik amalan seperti tawasul, tabarruk, istighasah dan selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah SAW seperti Selawat Syifa dan Tafrijiah. Selain itu, menerusi fahaman Tauhid Uluhiyyah, mereka menafikan tauhid umat Islam yang bertawassul, beristighasah dan bertabarruk sedangkan ketiga-tiga perkara itu diterima oleh majoriti ulama Islam khasnya ulama empat mazhab.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman pada 20 Mac 2016 memutuskan bahawa antara ciri-ciri amalan dan fahaman yang bertentangan dengan ASWJ ialah menganggap tawassul, tabarruk dan istighathah sebagai bidaah, menolak selawat yang disusun oleh ulama besar seperti selawat Syifa, selawat Tafrijiyyah dan lain-lain dengan mendakwanya syirik serta menolak perkataan ‘Madad Ya Rasulullah’.
Fatwa Kedah ini juga menyatakan menerusi fahaman Tauhid Uluhiyyah, mereka menafikan tauhid umat Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk sedangkan ketiga-tiga perkara tersebut diterima oleh jumhur ulama khasnya ulama empat mazhab.
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 10-11 Ogos 2016 memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa antara kepercayaan, perbuatan dan pengamalan yang bercanggah dengan ASWJ ialah menganggap syirik amalan ahli sunah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah serta selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah SAW seperti Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah.
Muzakarah itu juga pada 23-24 Mei 2017 memutuskan bahawa amalan ASWJ yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi termasuk dalam perkara khilafiah di sisi ulama dan fuqaha adalah tidak bercanggah dengan syariat Islam seperti amalan tawassul.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan pada 10 Januari 2018, tidak salah untuk berdoa kepada Allah SWT dengan bertawassul dan bertabarruk dengan ayat al-Quran termasuk ayat 44 Surah Hud ini dengan membawa contoh tajribah Imam Ibn Taimiyyah yang menulis ayat 44 Surah Hud pada dahi pesakit hidung berdarah dan ia mujarab. Namun daripada sudut keutamaan, digalakkan agar masyarakat melazimi jua doa warid (datang) daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang berkat dan mujarab.
Contoh lain menurut Mufti Wilayah Persekutuan pada 23 November 2021, mengamalkan bacaan ayat 1-5 daripada Surah Taha sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah harus. Ia berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan ruqyah menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah meskipun tiada dalil khusus daripada al-Quran serta hadis yang menyatakan sedemikian. Dinukilkan pandangan Imam al-Qurtubi oleh Imam al-Suyuti dalam al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran: ‘Harus ruqyah dengan menggunakan kalam Allah dan nama-nama-Nya. Bahkan sekiranya ia ma’thur (terdapat dalil al-Quran dan sunah) maka ia disunatkan.’
Dinukilkan juga pandangan Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi: ‘Maka mintalah kepada Allah SWT dengan al-Quran (tawassul) dalam setiap perkara daripada perkara dunia dan akhirat.’
Menurut Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Ensiklopedia Fiqh Negara Kuwait), fuqaha bersepakat bertawassul dengan nama Allah dan sifat-Nya adalah mustahab (sunat) untuk memohon apa-apa berkaitan dunia dan akhirat.
Juga ijmak fuqaha tentang keharusan memohon kepada Allah SWT menerusi bertawassul dengan amal soleh. Jumhur ulama (mazhab Maliki, Syafii, Mutaakhirin Hanafi dan Hanbali) menyatakan harus bertawassul dengan Nabi SAW sama ada ketika hidup atau selepas wafatnya. Ensiklopedia ini juga memaparkan pandangan jumhur fuqaha tentang al-Quran boleh dijadikan sebagai syifa (penyembuhan) bagi penyakit badan (al-amradal-badaniyyah) dengan ruqyah di samping menyembuhkan penyakit hati.
Jabatan Fatwa Negara Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) pada 3 September 2009, istighathah (sebut aghisna atau seumpamanya), istimdad (sebut madad atau seumpamanya) kepada para nabi, wali dan golongan solihin diharuskan oleh ulama salaf serta khalaf. Pandangan yang mensyirikkan ungkapan ini adalah bidaah terbesar berlaku dalam masyarakat Islam kontemporari dan ia adalah ciri bidaah golongan Khawarij yang membawa kepada fahaman mengkafirkan sesama umat Islam.
Jabatan Fatwa Negara Jordan (Da’irat al-Ifta’ al-Urduniyyah) pada 17 Mei 2012 menjawab soalan berkenaan Selawat Tafrijiyyah, maka dinyatakan bahawa ia tidak termasuk dalam larangan syarak sebaliknya hukumnya adalah harus. Pada 29 April 2019, disebut juga bahawa fahaman menghukumkan kafir terhadap perkara furuk fiqah seperti amalan tawassul, istighathah dan tabarruk dengan golongan soleh adalah perkara yang sangat bahaya.
Bagi sesiapa yang ingin memahami perkara ini secara ikhlas ingin mencari kebenaran, boleh rujuk dokumen kertas kerja Seminar Istighasah: Usul, Konsep dan Amalan yang diadakan pada 19 September 2022 di Masjid Dato’ Kelana Petra, Nilai, Negeri Sembilan.
Seminar ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dengan kerjasama Pertubuhan Nahdhatul Ulama’ Malaysia, Akademi Warisan Nusantara dan Masjid Dato’ Klana Petra.
Pembentangan pertama disampaikan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Dr Syuhadak Mahmud al-Jaafari dengan tajuknya ‘Istighathah di dalam Amalan Tariqat Tasawuf dan Kesufian: Suatu Penghayatan Kehambaan.’
Pembentangan kedua disampaikan oleh Ahli Panel Jawatankuasa Penyelidikan Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS) Dr Abdullaah Jalil menerusi tajuk ‘Istighathah di Sisi Ahli Sunah Waljamaah’ dan ‘Garis Panduan Serta Salah Faham Golongan Ekstrem.’
Pembentangan ketiga disampaikan oleh Dr Mohd Khafidz Soroni selaku Ahli Panel Jawatankuasa Penyelidikan Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS). Beliau kini Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Tawassul dan Istighathah Menurut Perspektif Hadis Nabawi.’
Semoga pembaca dapat memahami amalan tabarruk, tawassul dan istighathah ini berdasarkan ASWJ. Ia membantu umat Islam beramal dengan ilmu dan menghindari tuduhan takfir (mengkafirkan) atau quburiyyun (penyembah kubur) kepada ulama serta umat Islam seluruhnya.
Penulis Profesor Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
© New Straits Times Press (M) Bhd