hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik suami isteri pengasas platform e-dagang fashion valet bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan berkenaan adalah susulan daripada siasatan yang dijalankan suruhanjaya ini terhadap suami isteri terbabit berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, bermula Isnin lalu SPRM secara serentak menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Kementerian Kewangan (MOF), Khazah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
“Selain itu, SPRM juga merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashion Valet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, Vivy dan suami hadir sekali lagi ke Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya untuk menyambung rakaman percakapan susulan kerugian pelaburan dana Khazanah Berhad Nasional (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RMRM43.9 juta.
Pasangan itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam dilihat beredar pada 4.23 petang, selepas tiga jam memberi keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd