Fasa pertama pusingan kerja kakitangan awam bertugas di kaunter sudah selesa

Fasa pertama pusingan kerja kakitangan awam bertugas di kaunter sudah selesa

nfazlina@nstp.com.my

Bachok: Proses pusingan kerja fasa pertama membabitkan 1,000 kakitangan awam bertugas di kaunter perkhidmatan kerajaan sudah selesai dilakukan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pusingan kerja itu akan dilakukan membabitkan beberapa fasa mengikut keperluan.

“Setakat ini dianggarkan 1,000 kakitangan awam yang bertugas di kaunter sudah melalui pusingan kerja dan ia membabitkan pelbagai jabatan.

“Justeru, boleh dikatakan hampir 50 peratus sudah melalui pusingan kerja dan sekiranya keadaan memerlukan, fasa kedua akan dilakukan.

“Memang pusingan kerja itu salah satu perkara yang ada dalam reformasi perkhidmatan awam. Ia adalah penting kerana kita tidak mahu seseorang pegawai kerajaan itu berada di sesuatu tempat terlalu lama yang boleh menimbulkan pelbagai isu termasuk ketirisan,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara di sini, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh menukar kesemua mereka kerana ia boleh menimbulkan isu dari segi pelaksanaan.

“Kita tidak boleh tukar secara sekali gus, perlu ambil masa kerana mereka perlu memberi tunjuk ajar kepada pegawai yang baru.

“Insya-Allah kita akan melakukannya secara berterusan mengikut keperluan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarah meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.

Katanya, dengan pelaksanaan pusingan kerja itu, pergerakan besar-besaran membabitkan penjawat awam bakal berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top