Fasa pertama perdagangan TBB rentas sempadan Malaysia-Singapura bermula bulan ini

Fasa pertama perdagangan TBB rentas sempadan Malaysia-Singapura bermula bulan ini
Fasa pertama perdagangan TBB rentas sempadan Malaysia-Singapura bermula bulan ini

Majlis menandatangani Perjanjian Bekalan TBB antara TNB dan Sembcorp Power yang disaksikan wakil kerajaan kedua-dua negara. Foto Petra

FASA pertama perdagangan Tenaga Boleh Baharu (TBB) merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura dengan kapasiti 50 megawatt (MW) akan dimulakan pada bulan ini, demikian menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan Malaysia-Singapura yang julung kali itu adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun lepas.

Petra dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan ENEGEM membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau

daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan kompetitif.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara kedua-dua negara,” menurut Petra.

Bidaan menerusi ENEGEM merupakan sebahagian daripada inisiatif Petra di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk TBB (CBES RE) yang akan dilaksanakan secara berfasa dengan jumlah kapasiti hingga 300 MW dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara Malaysia dan Singapura.

Pelaksanaan CBES RE turut selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara dan komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau menerusi pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN, yang merupakan agenda utama negara menjelang Kepengerusian ASEAN 2025, menurut kenyataan itu.

Terdahulu satu majlis penandatanganan Perjanjian Bekalan TBB antara TNB dan Sembcorp Power yang disaksikan wakil kerajaan kedua-dua negara telah diadakan di Petra. – Bernama

Scroll to Top