Fasa maghfirah: Banyak mohon ampun, bertaubat

Fasa maghfirah: Banyak mohon ampun, bertaubat

– Advertisement –

ALOR SETAR: Umat Islam khususnya di Kedah disarankan agar merebut peluang Ramadan ini dengan memperbanyakkan amal terhadap Allah selain memohon keampunan dari-Nya.

– Advertisement –

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, Ramadan kini sudah berada di fasa kedua maghfirah iaitu keampunan.

Maka seru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu agar umat Islam berlumba-lumbalah meningkatkan ketakwaan agar ia tidak berlalu begitu sahaja.

“Ini adalah waktu terbaik untuk memohon keampunan daripada Allah. Setiap insan pasti pernah melakukan dosa, tetapi Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

“Nabi Muhammad SAW juga bersabda, awal Ramadan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka. Jadi rebutlah peluang ini,” kata beliau pada tazkirah ringkas yang dimuat naik ke media sosialnya, hari ini.

Oleh itu katanya, perbanyakkan istighfar, memohon ampun dengan penuh kesungguhan dengan harapan Allah mengampunkan segala dosa.

Selain itu ujarnya, antara yang dianjurkan juga pada fasa keampunan ini juga adalah bertaubat dengan hati yang ikhlas, bukan sekadar lafaz di bibir, dengan tekad untuk tidak mengulangi kesalahan lalu. 

“Perbanyakkan Ibadah, bacalah Al-Quran, perbanyakkan solat sunat, dan sedekah. Ramadan ini sebaik-baik peluang keemasan untuk meraih keampunan. 

“Kerana Junjungan Rasullullah SAW pun telah bagi jaminan ‘Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu’,” tambahnya lagi.

Justeru beliau berharap agar fasa keampunan ini dapat dimanfaatkan bersungguh-sungguh agar Ramadan kali ini menjadi  titik perubahan dalam hidup ke arah lebih baik serta bertaqwa kepada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top