Farid Kamil Dedah Diana Danielle Mahu Fail Cerai Angkara Perselisihan Faham – “Tsunami Pun Berlaku Dua Kali, Inikan Ombak Cinta”

Farid Kamil Dedah Diana Danielle Mahu Fail Cerai Angkara Perselisihan Faham – “Tsunami Pun Berlaku Dua Kali, Inikan Ombak Cinta”

Pelakon, Farid Kamil mengakui kemelut rumah tangganya bersama aktres jelita, Diana Danielle menganggu fikirannya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem, Bisikan Dosa.

Memetik laporan Berita Harian, Farid memaklumkan konflik hubungan antara mereka berdua hanya disebabkan oleh perselisihan faham kecil, yang dianggap satu kebiasaan buat pasangan suami isteri lain.

“Saya akui fokus saya terganggu, tapi apa yang saya boleh jelaskan, ada berlaku perselisihan faham sedikit dan perkara ini berlaku pada bulan mengambang.

“Tapi, saya ambil perkara ini sebagai perkara positif. Biasalah, tsunami pun dua kali berlaku, inikan ombak cinta dalam perkahwinan,” katanya.

Menganggap masalah rumah tangga satu takdir, aktor berusia 43 tahun ini juga sudah bersedia untuk memberikan komitmen sepanjang prosedur perceraian tersebut.

“Kali ini saya lebih bersedia. Saya anggap ini takdir Tuhan dan qada serta qadar. Masalah perkahwinan saya sama dengan perkahwinan sesiapa di Malaysia ini, tapi bezanya mereka tak ditemubual begini,” katanya.

Sementara itu, Farid menjelaskan dia dan aktres filem popular Imaginur itu masih berhubung dan tinggal sebumbung.

“Kami baru bercakap di telefon dan berhubung semalam. Cuma malam saya tidur di lokasi penggambaran sebab shooting sampai pagi,” tuturnya.

Sebelum ini, Diana mengejutkan ramai apabila menyatakan hasratnya mahu bercerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran dimuat naik di Instagram pada Isnin lalu.

Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos 2023.

Mereka bagaimanapun sah rujuk semula pada 31 Ogos 2023 ketika masih dalam idah.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Artikel Berkaitan: Diana Danielle Bakal Fail Cerai Buat Kali Kedua Terhadap Farid Kamil – “Let Me Go, Rujuk Bukan Untuk Semua”

Artikel Berkaitan: Farid Kamil Masih Sayang Isteri, Nak Pertahan Perkahwinan… Diana Danielle Pula Muat Naik Instagram Stories Tulis Perkataan ‘Hipokrit’

Sumber: Berita Harian

Scroll to Top