Madrid: Real Madrid pada awalnya bergelut untuk menyesuaikan diri dengan barisan serangan baharu musim ini, tetapi Carlo Ancelotti terus menaruh kepercayaan, dan kini ‘Fantastic Four’ menjadi kekuatan terbesar Los Blancos menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid.
Mereka akan melayan kunjungan skuad kendalian Diego Simeone pada aksi pertama pusingan 16 terakhir di Santiago Bernabeu, Rabu ini, sebelum berkunjung ke Metropolitano pada 13 Mac depan.
Bintang Perancis, Kylian Mbappe menyertai trio musim lalu yang terdiri daripada Jude Bellingham, Vinicius Junior dan Rodrygo Goes, tetapi baik bekas penyerang Paris Saint Germain itu mahupun skuad Real sendiri, mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Bagaimanapun, Real terpaksa beraksi tanpa Bellingham dalam perlawanan pertama selepas pemain tengah England itu digantung akibat mengumpul tiga kad kuning, termasuk satu dalam perlawanan play off menentang Manchester City.
Ancelotti bukan asing dalam menyelesaikan masalah taktikal sepanjang karier cemerlangnya.
Musim lalu, dia menggantikan Karim Benzema dengan Bellingham di posisi serangan dan eksperimen itu berjaya membuahkan hasil.
Real menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara dan La Liga, namun mereka memerlukan masa untuk serasi dengan kehadiran Mbappe.
Kesukaran yang dialami Real menyaksikan mereka terpaksa melalui pusingan play off dan bertemu juara England, City.
Bagaimanapun, selepas menemui rentak sebenar, juara bertahan itu berjaya meledak enam gol dalam dua perlawanan.
Mbappe dan Bellingham masing-masing menemui jaringan di Etihad, sementara Vinicius dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Mbappe kemudian meledak hatrik di laman sendiri untuk memastikan kemenangan agregat 6-3.
‘Fantastic Four’ Real kini berada di prestasi terbaik pada saat yang tepat.
“Inilah permulaan sebenar musim ini,” kata Ancelotti yang akhirnya yakin dia telah menemui formula terbaik selepas beberapa kesukaran pada awal musim.
Dia turut gembira dengan usaha keras barisan serangannya selepas sebelum ini mengkritik ketidakseimbangan yang wujud apabila mereka gagal membantu dalam aspek bertahan.
Menurut Ancelotti, aspek itu akan menjadi kunci kepada kejayaan Real musim ini, terutama ketika berdepan Atletico yang terkenal dengan corak permainan intensif dan penuh kerja keras.
“Ia adalah persembahan lengkap dari aspek serangan, dan kami membuktikan bahawa dengan komitmen yang betul, kami boleh melakukan apa sahaja,” katanya selepas kemenangan di Manchester.
Bagaimanapun, pengorbanan yang sama tidak ditunjukkan ketika Real tewas 1-2 kepada Real Betis dalam aksi La Liga pada Sabtu, dengan sebahagian pemain mungkin sudah memikirkan perlawanan menentang Atletico.
“Jika kami bermain seperti ini, kami tidak akan menang pada Rabu,” tegas Ancelotti selepas kekalahan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd