Pasangan sepupu, Ayie Elham dan Salma Asis, bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada pentas akhir Famili Duo 4 (FD4) yang bakal berlangsung malam ini.
Mereka akan mempersembahkan mashup lagu Haram dan Kisah Ku Inginkan serta Mentari Di Ufuk Timur bersama Meniti Titian Usang dalam pertandingan terakhir.
Menurut Ayie, elemen kejutan bakal menjadi keutamaan dalam persembahan mereka.
“Lagu-lagu ini memberi peluang kepada kami untuk memperluaskan konsep persembahan. Banyak elemen kejutan yang boleh dimasukkan bagi mencipta impak lebih besar.
“Sejak awal hingga ke final, kami fokus memastikan jalan cerita lagu sesuai dengan konsep persembahan. Jalan cerita adalah perkara paling penting,” jelas Ayie.
Tambah vokalis kumpulan Floor 88 ini, dia turut berkongsi bahawa pengalaman dalam bidang teater persembahan memberi kelebihan kepadanya untuk menyuntik kreativiti dalam setiap persembahan mereka.
“Saya bersyukur kerana pengalaman teater membantu kami menambah nilai dalam persembahan, dan ia diterima baik oleh penonton serta juri. Untuk pentas akhir ini, kami ada elemen kejutan yang istimewa. Penonton kena nantikan!” katanya lagi.
Selain Ayie dan Salma, pentas akhir FD4 akan menyaksikan persaingan sengit daripada dua duo lain iaitu Shiha Zikir & Ieda Zikir serta Tomok & Sharul Kamal.
Acara ini akan dikendalikan oleh pengacara Sharif Zero dan Janna Nick, dengan barisan juri tetap Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Jangan lupa untuk menyaksikan kemuncak FD4 secara langsung di TV3 pada jam 9 malam!