Fama Kelantan jamin bekalan kelapa cukup pada Ramadan, Aidilfitri

Fama Kelantan jamin bekalan kelapa cukup pada Ramadan, Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan beri jaminan bekalan kelapa di negeri itu mencukupi menjelang musim perayaan.

Pengarahnya, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, buat masa sekarang pihaknya sedang menstabilkan bekalan agar mencukupi untuk kegunaan menjelang Ramadan seterusnya sehingga Aidilfitri.

“Memang isu bekalan kelapa agak kritikal jika menjelang musim perayaan dan sekarang kita juga banyak uruskan berkaitan permit membawa kelapa yang mana kita uruskan dari segi pembekalan.

“Kita sudah menerima (bekalan) kelapa dalam jumlah besar dan jika mana-mana pihak perlukan bekalan, boleh berhubung dengan pihak operasi Fama.

“Setakat hujung Januari lalu, kita sudah terima 10,000 kilogram (kg) dan secara keseluruhan, bekalan yang diperoleh Fama adalah 30,0000,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti pemborong serta mana-mana pengusaha kelapa untuk dibekalkan kelapa itu dengan harga jualan antara RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

Katanya lagi, pihaknya menerima bekalan berkala termasuk dari Indonesia melalui Ibu Pejabat FAMA dan bekalannya nanti diagihkan secara sama rata dengan negeri lain.

Mengulas lanjut, Wan Faizatul Aniza berkata, Fama terpaksa mendapatkan bekalan dari pembekal luar memandangkan Kelantan tidak banyak ditanam kelapa dan usaha itu memerlukan kerjasama daripada Jabatan Pertanian negeri.

“Kita tahu dalam negara pun (bekalan kelapa) tak cukup jadi kita cuba dapatkannya dari Indonesia melalui Ibu Pejabat Fama malah kita pun berusaha mengatasi masalah itu selain buat unjuran berkaitan dengan pembekalan.

“Fama juga sudah mendapatkan maklumat daripada setiap jajahan mengenai bekalan kelapa yang diperlukan untuk padanan dari segi keperluan serta bekalan.

“Insya-Allah bekalan mencukupi dan sekarang kita kenal pasti keperluan, pembekal, pasaran dan sebagainya selain dapatkan harga yang bersesuaian,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan FAMAzara Agro Educare sebagai pusat rujukan pertanian untuk anak-anak istimewa di Bizara Educare Centredi Kampung Telok Panji di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top