Faktor Hollywood mampu bantu tingkatkan penganjuran LA28

Faktor Hollywood mampu bantu tingkatkan penganjuran LA28

Paris: Los Angeles tidak dapat bersaing dengan mercu tanda ikonik Sukan Olimpik Paris, tetapi penganjur Los Angeles (LA) 2028 yakin bahawa faktor Hollywood dan identiti bandar Amerika Syarikat (AS) itu akan membantu mereka meningkatkan taraf penganjuran apabila menjadi tuan rumah temasya berkenaan dalam tempoh empat tahun lagi.

Paris 2024 mendapat sambutan hebat daripada peminat, atlet, penaja, dan penyiar, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LA28, Reynold Hoover, memuji penganjur Perancis atas ‘ penganjuran yang luar biasa’.

Hoover, seorang bekas leftenan jeneral Tentera AS yang keluar dari persaraan untuk mengambil alih tanggungjawab Sukan Olimpik musim panas akan datang, mengakui terdapat bidang di mana bandar Pantai Barat itu tidak dapat bersaing dengan Paris, tetapi berkata, mereka masih mempunyai banyak boleh ditawarkan.

“Paris adalah lokasi yang menakjubkan. Setiap satu tempat di Paris adalah ikonik dan anda tidak dapat bersaing dengan bermain bola tampar pantai atau bola sepak buta di bawah bayang-bayang Menara Eiffel,” katanya kepada Reuters dalam satu temu bual.

“Tetapi setiap bandar mempunyai personaliti, setiap bandar mempunyai sesuatu yang berbeza untuk ditawarkan kepada Olimpik dan kami rasa di LA kami mempunyai tempat sukan ikonik kami sendiri; kami mempunyai Coliseum, kami mempunyai Rose Bowl, kami mempunyai tempat pertandingan olahraga kelas dunia yang menakjubkan.

“Juga di LA kami mempunyai kepelbagaian, kami mempunyai budaya, kami mempunyai sukan, kami mempunyai hiburan, kami mempunyai penceritaan dan itulah yang akan anda lihat apabila anda datang ke LA, ia adalah kemampuan yang menakjubkan untuk mengumpulkan semua orang dan menyatukan dunia melalui sukan.”

Dengan tempat-tempat yang berdekatan antara satu sama lain, pengangkutan yang mudah, dan pertandingan di atau berhampiran monumen yang menakjubkan di tengah bandar, Paris 2024 menetapkan piawaian yang tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd