Fahmi minta MCMC ambil tindakan bersesuaian berhubung video Aliff Syukri

Fahmi minta MCMC ambil tindakan bersesuaian berhubung video Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan bersesuaian berhubung sedutan klip video yang dimuat naik oleh usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di media sosial.

Fahmi berkata beliau mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang meminta tindakan diambil berhubung sedutan klip video itu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Saya telah menonton sebahagian video yang telah dimuat naik dan saya telah minta MCMC untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian… tetapi pada masa sama, ramai yang mungkin mengambil maklum keputusan Datuk Seri Aliff Syukri untuk tidak memuat naik (klip penuh) video tersebut.

“Buat masa ini, kita biarkan dahulu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Fahmi di sini malam ini.

Aliff Syukri sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila memuat naik sedutan lagu Aidilfitri terbaharu yang bertajuk ‘Love Raya’ di laman Instagram peribadinya sejak Ahad yang memaparkan adegan kurang sopan.

Usahawan kosmetik itu bagaimanapun telah memadam video berkenaan dan memohon maaf selepas menerima kecaman daripada pengguna media sosial.

Fahmi menasihati pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial supaya menghasilkan kandungan yang sesuai dengan semua lapisan umur terutama kanak-kanak.

“Kita perlu memikirkan kandungan yang kita hasilkan dengan lebih mendalam sama ada sesuai memandangkan pada waktu ini, kita tidak tahu (sama ada) yang menonton kandungan itu berumur 90 tahun, 19 tahun atau sembilan tahun,” katanya.

Beliau berkata kerajaan bimbang dengan kandungan yang boleh mendatangkan kesan negatif terutama kepada kanak-kanak di bawah 13 tahun.

“Pada masa ini, pihak media sosial ambil sikap lepas tangan, mereka cuma meletakkan verifikasi yang dengan mudah sesiapa sahaja boleh berbohong tentang umur mereka,” katanya.

Justeru, Fahmi sekali lagi akan bertemu dengan pengendali platform media sosial dalam masa terdekat bagi memastikan ia selamat digunakan atau tidak digunakan oleh kanak-kanak bawah 13 tahun. – BERNAMA

Scroll to Top