Everton uji stadium baharu di Bramley Moore Dock

Everton uji stadium baharu di Bramley Moore Dock

Liverpool: Everton membuka pintu stadium baharu mereka di Bramley-Moore Dock kepada 10,000 peminat dalam acara ujian membabitkan perlawanan persahabatan bawah 18 tahun menentang Wigan Athletic.

Langkah ini menandakan persiapan kelab Liga Perdana Inggeris itu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Goodison Park selepas musim ini berakhir.

Stadium baharu berkapasiti 52,888 tempat duduk itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dengan kos hampir £800 juta (RM4.8 bilion), menurut laporan media Britain. Ia juga bakal menjadi venue perlawanan Euro 2028.

“Stadium ini luar biasa kerana tempat duduk benar-benar terasa dekat dengan padang,” kata jurulatih Everton B-18, Keith Southern, kepada Everton TV.

“Apabila stadium ini penuh musim depan, ia pasti menjadi tempat yang hebat untuk beraksi.”

Dalam perlawanan ujian itu, pemain Wigan, Harrison Rimmer, mencipta sejarah sebagai penjaring pertama di Stadium Everton pada minit ke-12.

Everton tewas 1-2 dengan Ray Robert menjaringkan gol tunggal pasukan tuan rumah.

Sementara itu, Goodison Park, yang menjadi gelanggang Everton sejak 1892, menyaksikan perlawanan tetangga terakhirnya pada Rabu lalu, di mana skuad kendalian David Moyes mengikat pendahulu liga, Liverpool, 2-2.

Perlawanan terakhir kompetitif di Goodison Park dijadual berlangsung pada 18 Mei, ketika Everton menerima kunjungan Southampton.

Selepas itu, stadium bersejarah ini akan dirobohkan, dan tapaknya akan dibangunkan semula menjadi kawasan bercampur yang merangkumi perumahan serta pejabat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top