LONDON: Pengendali Sepanyol Luis Enrique berharap Wembley akan dibanjiri ‘golongan kayangan’ Itali dan Sepanyol bagi aksi separuh akhir Euro 2020 selepas penyokong yang mahu ke England tetap perlu menjalani kuarantin.
Seramai 60,000 penyokong dibenarkan untuk hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir dan final di Wembley dengan sekatan COVID-19 dilonggarkan.
Bagaimanapun, England mempunyai kelebihan besar menjelang aksi separuh akhir menentang Denmark, awal pagi Khamis dan kemungkinan final selepas penyokong lawan tetap perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di negara berkenaan.
Namun, pengecualiann diberikan kepada 2,500 VIP selepas rundingan dicapai antara Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan kerajaan Britain.
“Ia situasi yang pelik. Saya harap esok ada lebih ramai penyokong Sepanyol dan Itali berbanding peminat England. Namun, perkara ini berada di luar kawalan kami.
“Saya tidak mahu buang tenaga memikirkan mengenai perkara ini. Kami berharap sebaliknya yang berlaku tetapi kami terima keputusan ini,” kata Enrique.
Disebabkan situasi itu, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol merayu kepada penyokong England untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara berkenaan dengan kempen di media sosial ‘Kami perlukan anda’. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd