Etika Berpakaian Jadi Tanggungjawab Penganjur – Mufti

Etika Berpakaian Jadi Tanggungjawab Penganjur – Mufti

Penganjur acara atau aktiviti yang mendapat liputan besar-besaran media massa mesti bertanggungjawab memastikan peserta dan tetamu jemputan mematuhi etika berpakaian.

Antaranya ialah dengan memastikan penampilan peserta dan tetamu disaring bagi mengelakkan kejadian kontroversi seperti lelaki berpenampilan wanita.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, pemakaian peserta dan jemputan haruslah menepati norma agama dan budaya.

“Iaitu lelaki berpakaian seperti lelaki dan wanita berpakaian sopan sesuai dengan adat serta sensitiviti masyarakat.

“Jadi, penganjur acara perlu bertanggungjawab memastikan peserta dan tetamu mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan.

“Stesen televisyen dan pihak berkaitan boleh mengenakan tapisan terhadap penampilan tetamu sebelum bersiaran bagi mengelakkan perkara yang mencetuskan kontroversi,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Ahad lalu, Anugerah Juala Lagu Ke-39 (AJL39) anjuran stesen televisyen swasta TV3 terpalit kontroversi apabila lelaki berpakaian seperti wanita ditampilkan dalam acara karpet merah sehingga mendapat kecaman masyarakat dan teguran pihak berkuasa.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan rasa amat kecewa dengan pihak yang menguruskan AJL39 kerana stesen televisyen berkenaan sudah sedia maklum mengenai semua garis panduan yang terpakai.

“Keingkaran mematuhi garis panduan dan syarat-syarat lesen ditetapkan boleh mendatangkan kesan kepada pihak yang terlibat.

“Saya memberi jaminan pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas,” kata Fahmi.

Semalam TV3 dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya kesal dan memohon maaf susulan penyertaan tetamu lelaki yang berpakaian wanita semasa AJL39.

Tegasnya, sebagai saluran penyiaran yang bertanggungjawab, TV3 sentiasa komited untuk mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

“Kami mengambil maklum bahawa insiden ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, dan memohon maaf atas kejadian tersebut.

“TV3 ingin menegaskan bahawa pakaian menyerupai wanita oleh tetamu tersebut tidak pernah dibenarkan dan tidak selari dengan norma dan nilai-nilai yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata stesen itu.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berharap pihak peganjur merujuk pihak berkuasa agama sebelum menganjurkan sesuatu program.

Katanya, garis panduan sebenarnya sudah lama ditetapkan cuma penganjur tidak merujuk kepada pihak berkuasa.

“Oleh sebab itu, nasihat saya, pihak penganjur perlu sensitif isu ini dan proaktif untuk merujuk pihak berkuasa agama sebelum program dianjurkan,” jelasnya.


Scroll to Top