Espirito Santo bangga malukan Liverpool di Anfield

Espirito Santo bangga malukan Liverpool di Anfield

Liverpool: Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo berkata, beliau bangga dengan cara pasukannya bermain, walaupun beberapa pemain utamanya mengalami kecederaan, ketika meraih kemenangan pertama mereka di Anfield sejak 1969 dengan menewaskan Liverpool 1-0 dalam perlawanan Liga Perdana, semalam.

Callum Hudson-Odoi masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan satu-satunya gol sekaligus memastikan kemenangan kedua dalam empat perlawanan untuk Forest yang masih belum tewas.

“Sangat gembira. Ramai penyokong kami hari ini (semalam) di stadium, mereka bahkan belum lahir (pada tahun 1969). Jadi itu menunjukkan betapa sukarnya bermain di sini.

“Bangga dengan cara kami bermain sebagai satu pasukan… semuanya mengenai mengambil peluang pada saat yang tepat, dan kami berjaya melakukannya,” kata Espirito Santo kepada wartawan.

Forest bermain tanpa dua pemain tengah utama mereka, dengan Danilo mengalami patah pergelangan kaki bulan lalu ketika menentang Bournemouth dan Ibrahim Sangare tidak dapat beraksi akibat kecederaan hamstring.

Pemain bek tengah, Willy Boly juga tidak beraksi kerana kecederaan betis.

“Ibrahim Sangare akan mengambil masa yang agak lama (untuk pulih).

“Saya berharap semua pemain boleh bersedia. Malangnya, kami kekurangan tiga pemain… kami perlu bersedia untuk apa sahaja,” kata Espirito Santo.

© New Straits Times Press (M) Bhd