Eriksen sedia tinggalkan Man United

Eriksen sedia tinggalkan Man United

London: Christian Eriksen bersedia meninggalkan Manchester United musim panas ini selepas mendedahkan bahawa dia tidak menerima sebarang makluman daripada kelab mengenai hasrat mereka untuk mengekalkannya.

Pemain antarabangsa Denmark berusia 33 tahun itu akan tamat kontrak di Old Trafford pada Jun depan dan selepas tiada sebarang komunikasi dari kelab mengenai perancangan masa depannya, dia bersedia mencari cabaran baharu di luar England.

“Saya belum mendengar apa-apa daripada kelab, jadi saya menganggap kerjasama ini akan berakhir. Itulah cara saya menafsirkannya,” katanya hari ini ketika bersama skuad kebangsaan Denmark.

“Kontrak saya tamat musim panas ini, dan saya bersedia mencari sesuatu yang baharu. Di mana kelab seterusnya, saya belum putuskan lagi.

“Saya tidak pernah berada dalam situasi tanpa kontrak, kecuali selepas insiden serangan jantung, tetapi itu adalah keadaan yang berbeza.

“Saya sedang menunggu dan melihat tawaran yang datang. Saya tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa, tetapi jika sesuatu yang sesuai muncul, saya akan menerimanya. Namun, saya sendiri belum pasti apa yang terbaik untuk saya,” katanya lagi.

Eriksen pernah bermain semusim di Itali bersama Inter Milan sebelum kembali ke England pada 2022 untuk menyertai Brentford. Pada tahun yang sama, dia menyertai Manchester United menerusi kontrak tiga tahun.

Musim ini, dia telah membuat 27 penampilan, kebanyakannya dari bangku simpanan, tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dia membuktikan masih boleh memberi peranan besar.

Bagaimanapun, kepulangannya ke Denmark atau perpindahan ke Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat tidak menjadi pilihan, begitu juga kemungkinan kekal di England.

“Niat saya bukan untuk kekal di England. Saya tidak akan ke Amerika Syarikat, kami tidak akan pergi sejauh itu. Kami mahu kekal di Eropah, tetapi masih terlalu awal untuk pulang ke Denmark,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top