Rashford menjaringkan satu gol ketika membantu United menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi EPL di Old Trafford pada Selasa. Foto Sky Sports
ERIK Ten Hag boleh mengukir senyum selepas meraih kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengendali Manchester United selepas jaringan Jadon Sancho dan Marcus Rashford memberikan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool di Old Trafford pada Selasa.
The Red Devils memulakan aksi minggu ini di tangga tercorot, namun sudah memintas Liverpool kendalian Jurgen Klopp yang belum memenangi sebarang perlawanan musim ini.
Selepas menjadi pengendali pertama United dalam tempoh lebih sedekad, tewas dalam dua aksi pertama, bekas jurulatih Ajax itu mendapat rentak permainan yang dimahukan.
“Kita boleh bercakap tentang taktik, tetapi semuanya berkenaan sikap,” Ten Hag.
Pada aksi itu, Ten Hag tidak menurunkan kapten, Harry Maguire dan pemain sensasi, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama dalam aksi di Old Trafford itu.
Ketinggalan dua jaringan, Mohamed Salah merapatkan jurang gol berbaki 10 minit permainan, namun sudah terlambat buat anak-anak buah Klopp untuk meraih sekurang-kurang satu mata.
“Permulaan permainan adalah apa yang semua orang jangkakan dan apa yang penyokong United mahukan.
“Mereka lebih agresif berbanding kami,” ujar Klopp.
Dalam pada itu, sebelum perlawanan, penyokong-penyokong The Red Devils berarak ke Old Trafford sebagai bantahan ke atas pemilik kelab, keluarga Glazer.
Gerakan di sosial media yang mahu penyokong memulaukan perlawanan berkenaan selepas kekalahan 4-0 di Brentford, tidak kesampaian.
Bagaimanapun kemenangan pertama liga ke atas Liverpool sejak tahun 2018 tidak meredakan kemarahan peminat yang masih melaungkan ‘kami mahu Glazers keluar’ sepanjang permainan.