Erdogan sokong ‘peluang bersejarah’

Erdogan sokong ‘peluang bersejarah’

ANKARA – “Saya menyokong gesaan sekutu nasionalis kami yang menuntut penyatuan Kurdish-Turkiye untuk menghapuskan keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Kenyataan itu dibuat Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika memperbaharui sokongan kerajaan terhadap ‘peluang bersejarah’ semasa berucap di hadapan anggota Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan beliau di Ankara pada Rabu.

Erdogan bagaimanapun menolak sebarang rundingan secara langsung bersama ketua PKK di bawah langkah perubahan yang dijangka mengubah landskap politik di negara itu.

Pada minggu lalu, pemimpin Parti Gerakan Nasionalis (MHP), Devlet Bahceli mencadangkan pemberian parol kepada pemimpin PKK, Abdullah Ocalan dengan syarat dia bersetuju membubarkan gerakan gerila bersenjata itu.

Ocalan kini ditempatkan di kurungan bersendirian di penjara sebuah pulau berhampiran Istanbul sejak dia ditahan di Kenya pada 1999.

Tidak lama selepas cadangan itu diutarakan, Turkiye digegarkan dengan serangan ganas didalangi PKK ke atas ibu pejabat firma pertahanan, Industri Aeroangkasa Turkiye (TAI) yang meragut lima nyawa manakala kira-kira 22 yang lain turut cedera.

Susulan insiden keganasan terbaharu itu, Bahceli bertindak mencadangkan penyatuan rakyat Turkiye dan Kurdish.

Erdogan turut menyambut baik cadangan Bahceli dan berharap rakyat Turkiye-Kurdish dapat menyertai usaha membina ‘Seabad Turkiye’.

“Jika diizinkan ALLAH, kami berhasrat untuk menghapuskan keganasan sepenuhnya daripada agenda negara,” ujar Erdogan yang berharap ia akan menjadi pencapaian terbesar dalam karier politik beliau.

Sebagai tindak balas terhadap keganasan PKK baru-baru ini, tentera Turkiye telah membedil sasaran PKK di Iraq dan Syria.

“Satu-satunya respons yang mereka akan faham adalah tiada kompromi untuk menentang keganasan seperti serangan dilakukan ke atas TAI,” tegas Erdogan.

Erdogan yang merupakan pengkritik lantang perang genosid Israel ke atas Genting Gaza turut menggesa komuniti Kurdish supaya menghindari Zionis yang didakwa menjadi ‘penaung’ PKK.

Menurut laporan media tempatan memetik sumber risikan, Zionis telah menghantar wakil mereka ke kem PKK di utara Syria bagi menyokong PKK dan membantu kumpulan gerila itu menentukan strategi baharu untuk menyerang Turkiye.

“Saya enggan berunding dengan pemimpin PKK di Qandil. Ia hanyalah untuk membuktikan keupayaan kepada ‘penaung’ mereka,” katanya yang merujuk kepada Israel.

Erdogan sekali lagi memberikan mesej solidariti jelas ‘negara ini juga adalah milik Kurdish sama seperti rakyat Turkiye’. – Agensi

INFO

>PKK yang melancarkan kempen keganasan sejak 1984 telah mengeksploitasi komuniti Kurdish untuk mewujudkan pemerintahan sendiri di tenggara Ankara.

>Pemerintah menentang percampuran komuniti Kurdish dengan PKK kerana bimbang dengan agenda pengganas kumpulan gerila tersebut yang telah mengorbankan puluhan ribu mangsa.

>Usaha perdamaian terakhir pada 2015 gagal setelah PKK melancarkan serangan ketika masih dalam fasa rundingan.

Selepas pengusiran kumpulan itu dari sempadan Ankara, kempen keganasan mereka telah beralih ke utara Iraq dan Syria sejak 2019.

>PKK dan sayap mereka di Damsyik, militia Unit Perlindungan Rakyat (YPG) mempunyai tempat persembunyian berhampiran sempadan Turkiye dan berulang kali melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di kawasan itu.

Scroll to Top