Erdogan bakal saksikan pertembungan Turkiye, Belanda

Berlin: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan berada di Jerman untuk menyaksikan perlawanan suku akhir Euro 2024 membabitkan negaranya dengan Belanda Ahad ini ketika Ankara dan Berlin tidak sehaluan dalam isu isyarat kontroversi dilakukan pemain Turkiye.

Jerman memanggil duta Turkiye di Berlin di tengah-tengah perbalahan diplomatik yang semakin meningkat selepas pemain bola sepak Turkiye, Merih Demiral membuat isyarat tangan ultra nasionalis semasa pasukannya menang ke atas Austria.

Dalam tweet mengumumkan langkah itu, Kementerian Luar Jerman berkata: “Sebagai tuan rumah Euro 2024, kami mahu sukan menyatukan orang ramai.”

Sehari sebelumnya, Turkiye telah memanggil wakil Jerman di Ankara.

Selepas menjaringkan gol keduanya dalam kemenangan 2-1 Turkiye ke atas Austria semalam, Demiral membuat isyarat yang dikaitkan dengan kumpulan ultra nasionalis Turkiye, Grey Wolves.

Tindakannya mendorong UEFA untuk melakukan siasatan atas ‘tingkah laku tidak wajar’ dan mencetuskan kecaman daripada pemimpin Jerman, tetapi Ankara segera melabelkan reaksi Berlin sebagai ‘xenophobia’.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser memberi amaran simbol pelampau sayap kanan Turkiye sama sekali tidak boleh diterima dan berkata menggunakan kejohanan bola sepak Eropah sebagai platform untuk isu perkauman adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Walaupun Erdogan sendiri masih belum memberi respon berkenaan isu itu, beberapa menteri dan jurucakap parti AKP telah mengecam reaksi Faeser.

© New Straits Times Press (M) Bhd