ISKANDAR PUTERI: Gudang logistik, Equalbase Sunway 103° yang dibangunkan menerusi polisi Zon Perdagangan Bebas (FCZ) di sini dijangka mampu mencapai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah berkata, gudang yang dibangunkan di tapak seluas 55 hektar oleh pihaknya dengan kerjasama syarikat Equalbase yang beribu pejabat di Singapura mampu menampung pelbagai inventori, antaranya barangan pengguna, peruncitan, e-dagang, automotif, farmaseutikal dan industri teknologi.
“Equalbase Sunway 103° juga akan menjadi pembangunan mampan yang menggabungkan ciri pengurangan karbon, sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar.
“Sebahagian daripada komitmen kemampanannya, Equalbase Sunway 103° akan berusaha untuk mencapai tahap pensijilan berprestij seperti penarafan emas Indeks Bangunan Hijau Malaysia (GBI).
“Memang menjadi hasrat Equalbase dan Sunway untuk mempromosi alam sekitar dan piawaian kemampanan dan dalam masa sama turut mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Johor,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Equalbase Sunway 103° di Hotel Sunway Big Box, di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Equalbase, Christian Bischoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Equalbase, Nicholas Bischoff.
Jeffrey memberitahu, gudang logistik itu akan dibina dalam empat fasa dengan fasa pertama dijadualkan siap menjelang penghujung 2025.
“Sunway komited menjadikan Sunway City Iskandar Puteri sebagai pusat koridor pembangunan selatan negara yang mampu terus mengukuhkan Johor sebagai salah satu kuasa ekonomi Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Bischoff memberitahu, projek berskala mega itu akan dapat menarik kemasukan lebih banyak pelaburan, khususnya dari Singapura.
“Equalbase dan Sunway 103° terletak hanya lima kilometer dari LinKedua. Lokasi strategik ini mampu menjadikannya hab utama sebagai ruang yang mampan, menyumbang terhadap pertumbuhan kedua-dua wilayah dan seluruh ASEAN,” katanya. – UTUSAN