Engku Emran cabar Syed Saddiq kongsi data Strava Muar ke Parlimen

Engku Emran cabar Syed Saddiq kongsi data Strava Muar ke Parlimen

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin mencabar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi data Strava larian 200 kilometer (km) yang dilakukan dari Muar ke Parlimen baru-baru ini.

Ia sebagai bukti Ahli Parlimen Muar itu melakukan dengan telus, katanya.

Cabaran itu dilontar Engku Emran menerusi ruangan komen Ahli Parlimen Muar itu susulan permohonan maaf beliau berhubung isu triatlon di Johor Bahru pada minggu lalu.

Data Strava merupakan aplikasi olahraga yang membantu pengguna memantau aktiviti olahraga terutama dalam larian.

Dalam komen tersebut, bekas suami kepada usahawan, Noor Nabila itu menyatakan Syed Saddiq perlu menunjukkan data Strava yang sudah direkodkan sepanjang larian 200 km yang dilakukan tempoh hari agar orang ramai percaya dengan apa yang telah dilakukan.

“Hello Budak Boy D Coy ambilan 2008. Permohonan maaf diterima. Tapi anda perlu berkongsi data Strava bagi larian 200 km juga.

“Saya percaya perkara tersebut lebih utama memandangkan ia melibatkan kredibiliti kerana orang ramai menyumbangkan wang,” tulisnya yang juga bekas suami kepada pelakon, Erra Fazira hari ini.

Pada awal bulan ini, Syed Saddiq berjaya meraih sumbangan berjumlah RM160,000 selepas tiga hari berlari sejauh 200 km dari kawasan diwakilinya hingga ke bangunan Parlimen.

Menerusi inisiatif yang dipanggil ‘Langkah Muar’ itu, Syed Saddiq tiba di hadapan bangunan Parlimen di mana lebih 2,000 penyumbang telah menjayakan misinya.

Sementara itu, Engku Emran yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi Suria FM turut memuat naik satu hantaran di Instagram menyatakan beliau sedar bahawa ada beberapa peserta amatur yang menipu dalam perlumbaan maraton.

Namun beliau memilih untuk tidak mengambil tahu kerana mereka membayar yuran penyertaan serta tidak ada kena mengena dengan kehidupannya.

Bagaimanapun kata Engku Emran, Komuniti Strava sentiasa akan memburu sesetengah pihak yang cuba memanipulasi keputusan memandangkan ia tidak sama seperti di dalam parlimen.

“Komuniti Strava akan memburu anda ke dalam lubang arnab jika anda berbuat demikian kerana tidak seperti di Parlimen, masyarakat adalah tentang mempunyai prinsip moral yang kukuh,” tulisnya. – MalaysiaGazette