Enggan 'plastik' depan orang

Enggan 'plastik' depan orang

najiy.jefri@hmetro.com.my

PESERTA Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Zazleen Zulkafli mengaku ibu dan adik-beradiknya kecewa apabila dia mengambil keputusan tampil dengan imej tidak bertudung.

Zazleen berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila ibunya memahami keputusan yang dibuat dan akan terus mendoakan dirinya menjadi lebih baik.

“Saya telefon emak untuk beritahu mungkin sudah masanya saya tidak lagi bertudung. Dia seboleh-bolehnya nak selamatkan saya supaya tetap bertudung, tapi saya minta emak doakan yang baik-baik.

“Saya beritahu, bagi saya dapatkan diri saya semula yang bukan ‘plastik’ depan orang. Saya hanya perlukan restu emak, akhirnya dia restui keputusan saya.

“Adik-beradik kecewa tapi mereka tidak buang saya. Sebelum ini ketika bertopi pun saya sudah tidak bertudung, tapi tiada siapa yang rasa ia suatu isu. Cuma bezanya sekarang, saya sudah berani untuk tidak bertudung sepenuhnya,” katanya.

Menurut Zazleen, keputusan untuk tidak bertudung kerana enggan menipu diri sendiri.

Zazleen berkata, dia sudah lama mahu berbuat demikian, namun hasrat itu ditangguhkan kerana menghormati permintaan ibu yang juga seniwati, Normala Omar.

“Kalau perasan, saya pakai selendang hanyalah di media sosial dan ketika bersama keluarga saja. Apabila bernyanyi di kelab, saya pakai topi.

“Saya selesa begitu. Tambahan pula karakter saya gila-gila, apabila bertudung ia seperti bertentangan.

“Pernah ada yang tegur saya, apabila bertudung perlu berkelakuan sopan, tapi dengan bertopi, saya seperti menjadi diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top