Enggan bertanggungjawab, lelaki kerat kekasih hamil

Enggan bertanggungjawab, lelaki kerat kekasih hamil

JAKARTA – Seorang lelaki tergamak membunuh dan memotong anggota badan teman wanitanya yang sedang hamil, sebelum membuang sebahagian organ mangsa ke dalam sungai, semata-mata kerana enggan bertanggungjawab terhadap kehamilan tersebut.

Suspek, Mulyana, 23, yang berasal dari Kampung Baru Ciberuk, Gunung Sari, Serang, ditahan polis di kawasan Pabuaran pada 19 April 2025, selepas melarikan diri sejurus kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Serang Kota, Superintendan Salahudin berkata, mangsa, SA, 19, ditemukan dalam keadaan menyayat hati apabila tubuhnya dipotong kepada beberapa bahagian.

“Siasatan awal mendapati suspek membawa mangsa ke sebuah gerai bakso di Ciomas sebelum mengajaknya ke beberapa lokasi lain kononnya untuk berbincang mengenai kehamilan mangsa.

“Namun, selepas didesak berkahwin oleh mangsa, suspek bertindak membawa mangsa ke ladang getah terpencil di kawasan Gunung Kupa,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Difahamkan, di lokasi tersebut, suspek menjerut leher mangsa menggunakan tudung yang dipakainya sebelum menolak mangsa dari atas tebing dan sekali lagi mencekik sehingga mangsa disahkan meninggal dunia.

Suspek kemudiannya pulang ke rumah untuk mengambil sebilah parang sebelum kembali ke lokasi kejadian dan memotong tubuh mangsa kepada beberapa bahagian.

“Bahagian kepala, tangan dan kaki dipisahkan daripada tubuh, manakala organ dalaman dibuang ke dalam sungai berhampiran. Bahagian tubuh yang lain ditutup dengan daun pisang dan kayu,” kata Salahudin.

Mayat mangsa ditemukan penduduk pada 18 April 2025 selepas melihat longgokan daun pisang mencurigakan di ladang getah. Apabila diperiksa, mereka menemui tubuh manusia tanpa kepala dan anggota lain.

Pihak polis bersama penduduk tempatan kemudian melancarkan operasi mencari bahagian tubuh yang lain dan menemukan kepala serta kaki tidak jauh dari lokasi penemuan awal.

Turut dirampas dalam tangkapan ialah senjata yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika disabit kesalahan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah berat dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh,” tegas Salahudin. -Agensi

Scroll to Top