asmaini@mediaprima.com.my
Ramadan yang tiba membawa keberkatan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Dalam menjalani ibadah puasa, tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya masing-masing mempunyai kenangan yang pastinya menggamit memori.
Kali ini Harian Metro kongsikan kenangan dan pengalaman menarik, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib sepanjang beliau menjalani ibadah puasa.
• Pengalaman yang Datuk Seri tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?
Saya masih tidak lupakan kenangan manis dan pengalaman berpuasa ketika zaman kanak-kanak di Pulau Pinang.
Kami seisi keluarga akan solat tarawih di Masjid Kapitan Keling yang terletak betul-betul di depan kedai kami.
Masa itu, solat tarawih 20 rakaat, tiada lapan rakaat seperti sekarang. Apabila dapat habiskan solat tarawih tu memang rasa betul-betul lega.
• Pada usia berapa Datuk Seri mula berpuasa penuh?
Kami lima beradik mendapat pendedahan awal daripada keluarga untuk berpuasa penuh. Umur enam tahun saya sudah berpuasa penuh.
• Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?
Saya tidak boleh tinggal kurma medjool, mesti ada di meja untuk berbuka. Selain itu, juadah lain yang mesti ada adalah bubur lambuk dan kuih seri muka.
• Bazar Ramadan kegemaran Datuk Seri dan mengapa?
Saya suka suasana dan kemeriahan bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail. Tetapi sekarang ia terlalu sesak. Jika teringin sesuatu makanan dari sana, saya akan minta tolong kakitangan beli dan bungkuskan.
Taufufah di bazar Ramadan itu sedap.
• Memori yang tidak dapat dilupakan ketika Datuk Seri bersahur zaman kanak-kanak?
Zaman kanak-kanak memang menyeronokkan kerana kami lima beradik wajib bangun bersahur.
Ketika itu, macam-macam ragam boleh lihat ada yang mengantuk, ada yang tersengguk-sengguk di meja makan.
Apapun saya memang kagum dengan arwah ibu kerana akan bangun jam 3 pagi setiap hari untuk masak juadah sahur apatah lagi arwah bapa suka makanan yang dimasak segar.
• Sajian paling disukai ketika bersahur?
Menu sahur saya ringkas sahaja, adakala cukup hanya roti bakar dan madu sahaja.
Ada ketika hanya chicken wrap. Tapi isteri akan tukar-tukar menu tidak mahu juadah berasaskan nasi.
• Apakah cabaran terbesar Datuk Seri ketika berpuasa ketika kanak-kanak?
Ketika kanak-kanak dahulu saya seorang yang aktif bersukan, atlet sekolah.
Selain olahraga, saya juga pemain bola sepak untuk sekolah. Jadi waktu bulan puasa memang mencabar kerana perlu berlatih dan manahan dahaga.
Masa itu, 10 minit sebelum berbuka pun umpama satu jam lamanya, hanya minuman yang terbayang di mata.
Minuman kegemaran ketika kanak-kanak adalah air kelapa dan teh ais.
• Makanan yang Datuk Seri cuba dielakkan sepanjang Ramadan dan mengapa?
Kopi kerana minuman berkafein ini membuatkan saya susah untuk tidur. Walaupun ia minuman kegemaran setiap pagi, tetapi pada bulan puasa saya tidak akan mengambil kopi.
• Bagaimana sambutan Datuk Seri Ramadan kali ini? Adakah ia berbeza dengan tahun sebelumnya?
Ramadan tahun ini memang berbeza kerana buat pertama kali kami sekeluarga akan berpuasa bersama menantu.
Selain itu, saya juga agak sibuk sepanjang puasa kali ini kerana terpaksa banyak travel atas tuntutan bisnes ke luar negara.
• Apakah perubahan positif yang Datuk Seri diharapkan supaya dapat diteruskan selepas Ramadan?
Saya harapkan Ramadan kali ini akan dapat menambahkan lagi ketakwaan, keimanan dan kesabaran dalam kehidupan seharian.
Selain itu, kita perlu sentiasa mensyukuri apa juga nikmat yang dinikmati hari ini kerana ada insan lain yang tidak dapat merasai nikmat berkenaan di luar sana.
Jangan take for granted apa yang kita ada.
• Apakah kenangan paling berharga ketika solat Tarawih?
Peluang menunaikan solat tarawih bersama ahli keluarga adalah momen paling berharga untuk saya.
Sebagai seorang bapa yang mementingkan keluarga, saya seronok dapat menunaikan solat tarawih bersama seluruh ahli keluarga.
Biasanya kami akan mengunjung masjid-masjid berlainan untuk bertarawih di sekitar Lembah Klang dan negeri lain termasuk Pulau Pinang.
• Apa petua kesihatan diamalkan sepanjang Ramadan?
Minum air secukupnya dan elakkan minuman berkafein seperti kopi.
Selain itu, saya akan pastikan tidur awal untuk bangun bersahur. Tidak boleh miss sahur.
• Datuk Seri lebih suka berbuka puasa di rumah atau di luar? Mengapa?
Semestinya di rumah bersama keluarga tersayang.
Juadah air tangan isteri tersayang memang tiada bandingan dan saya menggemari claypot rice yang dimasak isteri.
• Bagaimana persiapan Aidilfitri Datuk Seri tahun ini?
Kami sekeluarga belum membuat persiapan lagi. Kebiasaannya saya dan isteri akan berbincang untuk menentukan padanan warna atau tema pakaian kami sekeluarga.
Saya dan isteri mempunyai cita rasa fesyen masing-masing.
• Di mana Datuk Seri sekeluarga akan menyambut Aidilfitri tahun ini?
Insya-Allah kami sekeluarga akan beraya di Kuala Lumpur sahaja tahun ini kerana kedua-dua belah keluarga ramai yang menetap di sini.
Selain itu, kami sekeluarga ada juga perancangan untuk berkunjung ke Indonesia beraya dengan keluarga besan juga.
Bagi pihak Kumpulan Habib, saya ingin ucapkan selamat berpuasa kepada semua termasuk pelanggan setia Habib, semoga Ramadan tahun ini membawa keberkatan kepada kita semua.
© New Straits Times Press (M) Bhd