Enam saksi pendakwaan selesai buat pengecaman di lokasi kehilangan Zayn Rayyan

Enam saksi pendakwaan selesai buat pengecaman di lokasi kehilangan Zayn Rayyan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Enam saksi pendakwaan selesai membuat pengecaman di lokasi kejadian kehilangan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata, enam saksi berkenaan adalah dua kanak-kanak, dua pegawai polis serta dua wanita.

“Pihak pendakwaan memanggil enam saksi bagi melawat tempat kejadian iaitu dua kanak-kanak, dua pegawai polis (Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip) serta dua wanita yang juga jiran Zayn (Rashidah Rajali dan Siti Natrah Ismail).

“Ia bagi menunjukkan tempat kejadian iaitu kawasan pencarian Zayn, tangga dan taman permainan di sekitar Blok R serta saliran anak sungai,” katanya ketika ditemui di Apartmen Idaman, di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 10 kenderaan yang dinaiki hakim, pihak pendakwaan, pembelaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat keluar dari lokasi itu sekitar jam 12.30 tengah hari.

Dianggarkan lebih dua jam prosiding lawatan itu berlangsung selepas mereka tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Hardesh berkata, tiada soal balas dilakukan ketika prosiding lawatan berkenaan dan hanya pengecaman lokasi kejadian dibuat bersama Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh.

Katanya, selain Dr Syahliza, ketiga-tiga Timbalan Pendakwa Raya kes berkenaan iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian turut hadir bersama pendaftar mahkamah, jurubahasa serta pegawai perakam mahkamah bagi merakam keterangan melalui video.

“Semasa lawatan itu, semua saksi berjaya mengenal pasti lokasi kejadian tanpa sebarang masalah dan kami pun tiada soal saksi di sana.

“Sesi pengecaman lokasi sudah selesai pada hari ini dan prosiding akan bersambung esok di mahkamah dengan sesi soal balas oleh peguam,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Dr Syahliza serta pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes ibu bapa Zayn Rayyan yang didakwa mengabaikan kanak-kanak itu tiba di Apartment Idaman kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pada 5 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis dibuat ibu Zayn Rayyan.

Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top