Enam lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan melakukan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Tangkak, lima tahun lalu.
Kes ini mencetuskan perdebatan hangat kerana dua daripada tertuduh dilaporkan bakal melangsungkan pertunangan Sabtu ini, manakala perkahwinan mereka dijadualkan pada Mei tahun depan.
Tertuduh yang berusia antara 20 hingga 23 tahun ialah Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, Muhammad Azizi Shamsor, kembarnya Muhammad Azizan, Muhammad Asraf Rosli, Hafsyal Sufian Kamaluddin, dan Muhammad Hafize Abd Rahim.
Insiden di rumah teman lelaki: jeritan selamatkan mangsa
Menurut laporan, insiden ini berlaku pada 20 Januari 2019 di sebuah rumah di Tangkak, sekitar jam 1.30 hingga 2 pagi.
Mangsa ketika itu datang ke rumah salah seorang kenalan lelaki terbabit dan berehat di bilik tingkat atas.
Sembilan lelaki berada di rumah tersebut dan kesemua tertuduh naik ke tingkat atas secara berdua-dua untuk melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap mangsa.
Mangsa yang tidak tahan dengan tindakan tersebut menangis dan menjerit sehingga didengar oleh jiran berhampiran.
Jiran itu segera keluar rumah untuk memeriksa keadaan dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa dia telah dicabul. Bertindak atas maklumat itu, jiran berkenaan terus menghubungi pihak polis yang membawa kepada penahanan enam lelaki terbabit.
Tertuduh tidak diwakili peguam…
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadap mereka secara berasingan.
Kes disebut semula pada 27 Januari akan datang untuk serahan dokumen serta lantikan peguam bagi semua tertuduh.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa ataupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai.