KUANTAN: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Maran, dekat sini ditutup pukul 4 petang hari ini setelah keadaan banjir di lokasi terlibat pulih.
Empat PPS berkenaan ialah PPS Kampung baru Sungai Chedong, Pusat Pemindahan Tetap Luit, PPS Kampung Ulu Luit dan PPS Surau Bukit Kuin.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, tiga PPS masih dibuka menempatkan 73 mangsa daripada 27 keluarga dengan dua di Maran dan satu di Jerantut.
“Daripada 27 keluarga berkenaan, 22 keluarga terdiri dari 52 mangsa ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Jara, Maran, sebuah keluarga terdiri membabitkan empat mangsa di PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak Bak, Maran dan empat keluarga terdiri daripada 17 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teh, Jerantut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, tiga sungai iaitu Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut, Sungai Pahang di Jerantut Feri, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran berada pada paras bahaya.
Enam sungai dengan dua di Kuantan, dua di Maran dan masing-masing satu di Temerloh dan Bera berada pada paras amaran sementara 11 daripada 20 sungai di negeri ini pada paras berjaga-jaga. – UTUSAN