Empat maut, ratusan cedera akibat letupan di pelabuhan selatan Iran

Empat maut, ratusan cedera akibat letupan di pelabuhan selatan Iran
Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian. FOTO: AFP

Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian. FOTO: AFP

BANDAR ABBAS – Sekurang-kurangnya empat orang maut dan lebih 500 lagi cedera selepas satu letupan besar menggegarkan Pelabuhan Shahid Rajaee berhampiran Bandar Abbas di selatan Iran, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Letupan yang berlaku pada Sabtu itu menyebabkan kemusnahan di kawasan sekitar dan menjejaskan beberapa industri di bahagian barat Bandar Abbas.

Laporan awal mengaitkan kejadian dengan letupan sebuah tangki gas, dengan video yang tular di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal di lokasi kejadian.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 561 orang telah dilaporkan cedera setakat ini.

Presiden Iran Masoud Pezeshkian, menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap mangsa letupan berkenaan.

Dalam satu hantaran di platform X, Pezeshkian berkata beliau telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri telah dihantar ke kawasan terjejas untuk memastikan semua aspek kejadian disiasat dengan teliti serta menyelaras langkah bantuan kepada mangsa.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Wilayah Hormozgan Mokhtar Salahshour berkata pasukan tindak balas segera telah dikerahkan ke lokasi sejurus kejadian.

Beliau berkata punca sebenar letupan masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.

Jurucakap Kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani pula berkata punca sebenar hanya dapat dipastikan selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau berkata kemungkinan letupan berpunca daripada kontena berisi bahan kimia yang disimpan di pelabuhan itu. – Bernama

Scroll to Top