Birmingham: Unai Emery percaya Aston Villa masih mempunyai banyak potensi untuk ditonjolkan walaupun tersingkir daripada Liga Juara-Juara dengan penuh bermaruah selepas kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.
Juara Perancis itu mara ke separuh akhir menerusi agregat 5-4 hasil kelebihan kemenangan 3-1 dalam perlawanan pertama, namun mengalami kekalahan di Villa Park buat kali kedua dalam 19 perlawanan terakhir mereka.
Skuad kendalian Emery hampir mencipta satu daripada kebangkitan paling bersejarah dalam Liga Juara-Juara.
Selepas ketinggalan 2-0, mereka memerlukan empat gol untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dan hampir berjaya jika tidak kerana beberapa aksi menyelamat hebat penjaga gawang, Gianluigi Donnarumma selepas Youri Tielemans, John McGinn dan Ezri Konsa meledak gol.
“Saya sangat berbangga dengan segala yang sudah kami lakukan. Mencapai sehingga ke tahap ini adalah langkah seterusnya yang saya mahu bina bersama Aston Villa,” kata Emery, yang berjaya mengubah nasib kelab itu sejak mengambil alih pada 2022.
“Hari ini sangat menakjubkan, bagaimana kami merasai sokongan penyokong. Sorakan mereka luar biasa. Mereka menikmatinya sama seperti kami,” katanya lagi.
Penampilan pertama Villa dalam kejohanan elit Eropah sejak 1983 turut menyaksikan kemenangan ke atas Bayern Munich dalam peringkat kumpulan.
Villa berpeluang kembali beraksi di kejohanan itu musim depan menerusi kedudukan lima teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mereka kini di tangga ketujuh tetapi hanya satu mata di belakang Manchester City yang berada di tempat kelima ketika masih berbaki enam perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd