Elon Musk dakwa platform X alami serangan siber besar-besaran

Elon Musk dakwa platform X alami serangan siber besar-besaran

WASHINGTON: Billionaire teknologi, Elon Musk, mendakwa platform media sosial miliknya, X, mengalami serangan siber besar-besaran selepas platform tersebut mengalami gangguan menyebabkan puluhan ribu pengguna tidak dapat mengakses akaun mereka.

Menurut laman web pemantau gangguan, Downdetector.com, aduan mengenai gangguan meningkat pada pukul 10 pagi dan 2 petang Isnin dengan lebih daripada 40,000 pengguna gagal mengakses platform tersebut.

Musk yang memuat naik kenyataan di X berkata, platform tersebut disasarkan setiap hari, tetapi serangan terbaharu ini dilakukan dengan banyak sumber dan diatur oleh kumpulan besar namun tiada bukti diberikan berhubung dakwaannya.

Gangguan terbesar berlaku di Amerika Syarikat (AS), menurut Downdetector.com, yang melaporkan 56 peratus masalah dilaporkan bagi aplikasi X, sementara 33 peratus lagi dilaporkan untuk laman web.

Pada Mac 2023, platform media sosial yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter itu, mengalami pelbagai masalah selama lebih satu jam apabila pautan tidak berfungsi. Beberapa pengguna tidak dapat log masuk, dan gambar gagal dimuat naik.

Musk, yang merupakan sekutu berpengaruh Presiden AS Donald Trump, memuat naik dakwaannya sebagai respon kepada satu pos yang mengaitkan gangguan itu dengan kontroversi terkini termasuk tugasnya dengan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE).

Musk dan pasukannya di DOGE telah ditugaskan Trump untuk mengurangkan saiz dan kos birokrasi persekutuan. Sehingga kini, kira-kira 25,000 pekerja telah dipecat, dan 75,000 lagi telah mengambil tawaran pampasan daripada jumlah 2.3 juta pekerja awam persekutuan.

Aktiviti politik mogul teknologi tersebut telah mencetuskan kemarahan meluas di seluruh AS, termasuk protes di kedai Tesla dan kebakaran yang berlaku di kilang Tesla berhampiran Berlin serta stesen pengecas Tesla.

Scroll to Top