Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty bertindak tegas dengan membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial, Imran Bard.
Ini susulan dakwaan bahawa Imran telah mencemarkan nama baik Ellie dalam sebuah video TikTok yang viral hingga jutaan tontonan sebelum ini.
Ellie Suriaty mahu ambil tindakan tegas, tidak akan maafkan Imran Bard…

Ellie, 54, menyatakan bahawa maruahnya sebagai anak seni telah tercalar akibat perbuatan Imran. Dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman serta melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Saya sudah berbincang dengan peguam dan ada beberapa perkara yang dia lakukan boleh dikenakan saman. Namun, berapa nilai saman? RM3 juta ke? Ia tak ternilai dengan bakat yang Allah kurniakan kepada saya.- Katanya..
Menurut Ellie, tindakan Imran yang menyebut namanya dalam video berkenaan, walaupun dalam nada jenaka adalah tidak wajar kerana dia sudah lama dikenali dalam industri.
Anak-anak Ellie turut terasa, ganggu emosi dan kerjaya…

Saya ini ibu tunggal. Anak saya masih bersekolah, rakan-rakan dan cikgunya bertanya tentang video itu. Ia memberi kesan kepada mereka. Saya pun tak tidur malam memikirkan perkara ini.- Luahnya.
Anak perempuan Ellie, Nur Azreen, 16, turut menyatakan rasa malu dan kecewa dengan tindakan Imran.
Lepas video itu viral, saya rasa tak boleh ke sekolah sebab ramai bertanya. Dia bercakap buruk tentang ibu saya. Kepada semua TikToker, fikirlah dahulu sebelum buat content.- Katanya.
Ellie tuntut ibu bapa Imran Bard datang minta maaf…
Ellie juga menuntut agar ibu bapa Imran datang berjumpa dengannya untuk meminta maaf.
Siapa dia (Imran) untuk saya berjumpa? Saya tak kenal dia. Kalau nak minta maaf, saya mahu ibu bapa dia datang. Saya mahu beritahu mereka tentang adab.- Tegasnya.
Namun, Ellie menegaskan bahawa dia tetap tidak akan memaafkan Imran serta tidak merestui sebarang keuntungan yang diperoleh daripada video tersebut.
