BERITA mengenai beberapa pasukan yang berkemungkinan menarik diri telah mengundang risiko saingan Liga Super akan terus suram, jatuh nilai seterusnya tutup kedai jika tidak diatasi sebaiknya.
Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan kelab perlu mencari cara terbaik untuk memastikan saingan bola sepak negara terus bernyawa dan mengelakkan lebih banyak pasukan terkubur.
Menurutnya, kajian dasar dan perlaksanaan bola sepak baharu perlu diperkenalkan oleh MFL pada ketika sokongan dan minat penyokong untuk mengikuti saingan Liga Super semakin merudum dan penaja yang mungkin tidak akan berminat untuk menaja kelab.
Malah, beliau percaya pasukan memainkan peranan besar mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat perancangan membeli pemain bagi mengelakkan berdepan masalah kewangan seperti yang berlaku setiap tahun.
“Dalam keadaan ekonomi yang ada sekarang, jangan ambil JDT (Johor Darul Ta’zim) sebagai contoh untuk berbelanja.
“Pasukan perlu menyedari kemampuan kewangan mereka. Selain itu, perkara yang paling penting sekali iaitu dasar yang diperkenalkan oleh MFL perlu adil kepada setiap pasukan, pemain muda dan senior tempatan serta memahami selera dan cita rasa peminat tempatan.
“Kajian dasar dan perlaksanaan bola sepak baharu perlu diperkenalkan. Sekiranya tidak, musim hadapan Liga Super akan terus jatuh nilainya dan akan tutup kedai,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, industri bola sepak negara digemparkan dengan keputusan Perak FC yang menyatakan pendirian mereka untuk menarik diri daripada saingan Liga Super.
Bukan hanya Perak FC, beberapa pasukan lain yang pernah berstatus gergasi bola sepak seperti Kedah dan Sri Pahang turut dilaporkan berkemungkinan akan meninggalkan saingan liga tertinggi negara.

Elak Liga Super tutup kedai
Namun, pengesahan pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan hanya akan akan diketahui Rabu ini selepas First Instance Body (FIB) bersidang dan meneliti dokumen setiap pasukan untuk kelulusan Lesen Kebangsaan.
Dalam pada itu, Sadek turut memberikan cadangan kepada pasukan untuk meneliti empat perancangan aspek dasar sebelum meneruskan hasrat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Beliau berkata, ia perlu bagi memastikan tiada lagi masalah kewangan dan tunggakan gaji yang membelenggu pasukan.
“Pertama, mempunyai dana kewangan untuk terus bersaing dalam tempoh 36 bulan yang mencakupi pembayaran gaji pemain, pegawai, jurulatih, pegawai taktikal dan teknikal, sewa logistik serta kos pengangkutan.
“Kedua, Mempunyai penaja strategik untuk menjenamakan pasukan dari aspek pemasaran, dan pengukuhan unit perniagaan pasukan.
“Selain itu, mempunyai pemain muda, senior serta pemain import yang berkualiti dengan pencarian bakat oleh satu pasukan yang profesional dan berpengetahuan.
“Mereka juga perlu mempunyai individu yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam mengharungi musim 36 bulan liga yang mencabar,” katanya.