Elak hospital sesak, 1,378 positif Covid-19 kuarantin di rumah – Utusan Digital

IPOH: Sebanyak 1,378 individu positif Covid-19 di negeri ini menjalani kuarantin di rumah masing-masing bagi memberi ruang kepada pesakit yang memerlukan rawatan di hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ini berikutan keadaan hospital yang padat dan sesak akibat peningkatan kes wabak berkenaan yang menyebabkan kekurangan katil hospital.

Katanya, namun secara keseluruhan keadaan hospital di seluruh negara masih terkawal.

“Untuk mengatasi masalah kekurangan katil di hospital, seramai 1,378 pesakit positif Covid-19 di negeri ini dikuarantinkan di rumah kerana berada dalam kategori satu dan dua.

“Meskipun tahap penggunaan katil di hospital seluruh negara ketika ini berada pada tahap sesak dan padat akibat Covid-19, namun keadaan masih terkawal.

“Kerajaan akan terus meningkatkan bilangan katil dan ventilator di hospital-hospital yang memerlukan fasiliti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan mulai Januari lalu pesakit Covid-19 tahap satu dan dua menjalani rawatan dan kuarantin di rumah,dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Scroll to Top