Elak bahan sensitif

Elak bahan sensitif

hafizithnin@mediaprima.com.my

Pemakaian henna sebagai hiasan tangan bukan perkara yang asing dalam masyarakat sama ada untuk majlis perkahwinan atau perayaan kerana ia mempunyai kecantikan tersendiri.

Ketika ini di pasaran ada pelbagai jenis henna dijual kepada pengguna dan mempunyai pelbagai kesan warna. Ia termasuk rona terang dan kepelbagaian warna yang mengikut trend terkini.

Justeru, di dalam Wanita Metro kali ini kami kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan di dalam pemakaian henna.

1. Pastikan kulit tidak sensitif

Sebelum anda memakai henna pastikan anda memahami kesihatan kulit sendiri supaya henna diletakkan di atas kulit tidak memberi kesan buruk seperti terjadinya alahan.

Anda boleh semak bahan henna dijual di pasaran sama ada terdapat bahan yang mampu memberi kesan kesihatan kulit atau sebaliknya. Malah, anda perlu tahu bahagian kulit sesuai untuk diletakkan henna kerana ada bahagian kulit seperti muka yang sensitif dengan benda asing.

Bagi mengelak alahan yang teruk, mungkin boleh letakkan pada jumlah sedikit di atas kulit untuk melihat sama ada memberi kesan buruk atau tidak ke atas kulit. Jika terasa panas atau sakit, bermaksud, henna itu tidak sesuai dengan kulit anda.

2. Pilih corak sesuai

Corak adalah sesuatu perkara yang subjektifkerana ia mengikut cita rasa si pemakai henna. Walaupun anda melihat corak henna itu cantik pada tangan orang lain tetapi tidak semestinya cantik kepada diri anda.

Pastikan anda membuat rujukan kepada mereka yang berpengalaman mengenai perkara itu seperti pelukis henna. Anda boleh boleh bertanyakan sama ada lukisan itu sesuai atau tidak dengan bentuk tangan atau warna kulit.

3. Sesuai dengan acara

Sebenarnya pemakaian henna pada hari ini tidak tertumpu kepada majlis perkahwinan sahaja kerana ia juga boleh dipakai pada majlis keraian yang lain. Namun, anda perlu pastikan pemakaian henna itu sesuai atau tidak untuk menghadiri sesuatu acara.

Contohnya, anda ingin ke majlis makan malam korporat sudah pasti ia kelihatan canggung apabila terdapat lukisan henna di tangan berbanding menghadiri majlis perayaan atau perkahwinan.

4. Minum banyak air

Bagi pengantin yang ingin melukis inai anda sebenarnya perlu minum air yang secukupnya dalam tempoh dua minggu sebelum pemakaian henna kerana bagi memastikan kulit sentiasa lembap bagi memudahkan proses menyerap warna pada kulit dengan sempurna.

5. Pelukis berpengalaman

Ketika ini terdapat banyak pelukis henna di pasaran yang menawarkan pelbagai jenis lukisan bersandarkan kepada pengalaman mereka. Jadi, anda perlu pastikan pelukis henna yang bakal diupah sesuai dengan kehendak cita rasa dan mereka juga mampu memberikan nasihat yang baik kepada pelanggan.

Selain itu, melukis henna sememangnya memerlukan kemahiran yang tinggi dan anda sebaik-baiknya berbincang dengan pelukis dari segi harga yang ditawarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top