Ekzos menjerit setiap Ahad

Ekzos menjerit setiap Ahad

am@hmetro.com.my

Seremban: Setiap petang Ahad terdapat kira-kira 100 anak muda berkumpul di kawasan rumah kedai terbiar di Taman Bandar Seremban Selatan di sini untuk menonton aksi tunggangan berbahaya rakan mereka.

Dakwa penduduk, kumpulan mat rempit itu bukan sahaja menunggang secara melulu dan berbahaya, malah masing-masing memulas minyak dengan deruan ekzos yang bingit.

Tinjauan wartawan selama tiga minggu di lokasi mendapati bilangan anak muda yang berkumpul dan melakukan aksi bahaya sudah berkurangan, difahamkan kerana lokasi sudah diserbu polis, Januari lalu.

Bagaimanapun, masih ada pihak yang tunjuk ‘hero’ dengan berlumba, melakukan aksi dan berkumpul namun masing-masing dilihat dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya diserbu polis.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, situasi itu dipercayai bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 yang kemudian menjadi aktiviti rutin pada setiap Ahad.

“Seolah sudah jadi seperti rutin mereka untuk berkumpul setiap Ahad. Bermula jam 6 petang sudah kelihatan anak-anak muda yang meronda dengan motosikal dan makin ramai menjelang jam 6.30 petang.

“Mereka berkumpul di kawasan rumah kedai terbiar dan pinggir jalan. Apa yang membimbangkan adalah lokasi ini adalah kawasan perumahan dan bukannya jalan raya atau lebuh raya,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, di kawasan itu terdapat dua jalan yang dihubung dengan satu simpang, masing-masing sejauh kira-kira 100 meter yang dikatakan laluan sesuai bagi kumpulan berkenaan menguji motosikal masing-masing.

“Kami bimbang kerana kawasan ini dilalui penduduk setempat lebih-lebih ini kawasan perumahan, jadi ramai yang tidak memakai topi keledar dan kumpulan mat rempit ini juga kebanyakannya tidak memakainya.

“Sebelum ini pernah belaku kemalangan membabitkan kumpulan mat rempit dengan penduduk, namun difahamkan setakat ini tiada lagi membabitkan kehilangan jiwa,” katanya.

Penduduk, Thiru, 39, berkata, pihak berkuasa sudah membina bonggol di salah satu jalan untuk mengelak daripada dijadikan litar lumba namun ia seolah tidak berkesan.

“Mereka masih menunggang laju di atas bonggol itu, takut juga lihat motosikal mereka yang seolah terbang. Kami sendiri juga buntu untuk hapuskan masalah ini kerana ia bukan sahaja membahayakan, malah mengganggu dengan bunyi bising.

“Polis juga sudah beberapa kali buat serbuan. Saya berterima kasih kepada polis,” katanya.

Seorang peniaga di kawasan itu pula berkata, orang ramai sudah buntu dan tidak berani menegur kumpulan berkenaan kerana dibimbangi melarat kepada pergaduhan.

“Ada sebahagian daripada mereka adalah anak-anak penduduk kawasan ini, risau bermasam muka dengan ibu-bapa mereka jika berselisih faham. Namun, bukan semua dari taman perumahan berdekatan. Ada yang datang Seremban 2, Senawang dan Paroi semata-mata untuk melepak dan menguji motosikal masing-masing. Sebelum ini polis pernah melakukan operasi,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top