mdroji@bh.com.my
Kuching: Lima lelaki berusia 18 hingga 35 tahun ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan di Jalan Rubber, Satok, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua suspek ditahan sekitar bandar raya ini pada jam 1.40 petang tadi.
Beliau berkata, pergaduhan dua kumpulan lelaki itu yang mencetuskan kekecohan tular di media sosial.
“Kejadian itu dikenal pasti berpunca daripada perbuatan membunyikan enjin dan ekzos kenderaan dengan kuat dan tiada kaitan dengan sebarang isu perkauman atau etnik.
“Setakat ini seramai lima lelaki ditahan berkaitan satu video yang tular di media sosial berdurasi 53 saat memaparkan kejadian pergaduhan di hadapan sebuah kedai,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzainuddin Rosley di talian 010-9431449.
“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut kerana boleh menyebabkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman di kalangan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd