Kuala Lumpur: eKelas ialah program komuniti utama Maxis yang menyediakan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti selaras dengan sukatan pelajaran sekolah Malaysia.
Program yang dilancarkan pada 2016 itu, menawarkan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk pelajar Tahun Empat hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.
Bermula tahun ini eKelas juga menawarkan sokongan untuk subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima.
eKelas mendedahkan kepada pelajar pembelajaran berasaskan pengalaman melalui gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, akses kepada kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas serta aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan, termasuk pertandingan, bengkel motivasi dan kem cuti sekolah.
Ketika ini turut berlangsung adalah Pertandingan Bahasa Inggeris eKelas bermula 30 Mei sehingga 31 Ogos ini dengan slogan ‘Jangan malu-malu, cuba dulu!’ Ia terbuka kepada murid berusia 10 tahun iaitu di Tahun Empat sehingga pelajar berusia 17 tahun atau di Tingkatan Lima.
Pertandingan yang tampil dengan dua kategori ini iaitu bertutur dan menulis karangan itu bertujuan memperkayakan pembelajaran bahasa Inggeris secara lebih imersif sambil memberi peluang membina keyakinan dan kemahiran komunikasi pelajar.
Bagi kategori bertutur, peserta perlu merakamkan video sedang bercerita, membaca sajak atau memberi ucapan menggunakan topik atau skrip yang diberikan. Bagi kategori menulis karangan pula, peserta perlu menulis karangan mengikut tajuk sesuai dengan tahap mereka.
Antara hadiah ditawarkan pula adalah tablet, lawatan ke Menara Maxis, baucar buku dan cenderamata eksklusif eKelas.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha, berkata pertandingan Bahasa Inggeris HIP StoryFest Maxis eKelas menyediakan pengalaman yang mendalam untuk membantu pelajar mempelajari bahasa Inggeris dengan cara yang menarik dan menyeronokkan serta menyokong pembelajaran mereka di sekolah.
“Setiap tahun, kami berbesar hati dengan peningkatan bilangan penyertaan yang kini melebihi 3,500. Kami akan terus membawa kandungan digital terbaik untuk pelajar, terutama daripada masyarakat luar bandar dan berharap lebih ramai pelajar menyertai pertandingan tahun ini,” katanya.
eKelas diiktiraf oleh KPM
Sejak 2019, eKelas diiktiraf oleh KPM sebagai satu inisiatif dibawah Program Imersif Tinggi atau Highly Immersive Programme (HIP), yang mana pelajar layak mendapat mata kokurikulum daripada penyertaan mereka menerusi pertandingan HIP yang dikelolakan oleh eKelas.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Faizulizami Osmin, berkata pihak kementerian mengalu-alukan inisiatif Maxis eKelas untuk menyokong Highly Immersive Programme (HIP) oleh KPM.
Beliau berkata, program eKelas memberi pelajar platform yang berbeza di luar persekitaran sekolah untuk berlatih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, terutama apabila mereka boleh berinteraksi dengan pelajar dari sekolah lain.
“Saya menggalakkan guru untuk memotivasikan murid mereka untuk menyertai pertandingan dan mendapat manfaat daripada peluang pembelajaran tambahan disediakan,” katanya yang menghadiri acara pelancaran maya, baru-baru ini.
Pertandingan Bahasa Inggeris HIPStoryFest Maxis eKelas menawarkan peluang pembelajaran dan penggunaan bahasa Inggeris melalui penceritaan, menulis esei berasaskan cerita, pelajaran video digital serta bengkel secara dalam talian.
Dengan cara itu, pelajar dapat mempelajari lebih banyak teknik penulisan bahasa Inggeris serta bimbingan mengenai cara bercakap dengan lebih yakin.
Tingkat minat pelajar
Selain itu, pelajar juga berpeluang belajar dan mengulang kaji pelajaran menerusi video pendek serta bengkel yang diadakan secara langsung. Pelajar, Dayangku Siti Nur Khairunnisa Awang Hamdany dari Sekolah Menengah Kebangasaan (SMK) Bukit Assek, Sibu, Sarawak, berkata eKelas memudahkan pembelajaran dan meningkatkan minat untuk menimba ilmu.
“Pada masa lapang saya akan menjawab kuiz daripada portal. Selain itu, nota diberikan amat mudah untuk difahami. eKelas sememangnya menarik minat saya untuk belajar,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi pelajar SMK (A) Dato’ Ismail, Kelantan, Hamizan Mazlan. Katanya, sebagai pelajar luar bandar, dia mendapati eKelas sangat membantu dalam pelajaran.
“Dalam portal eKelas ini terdapat banyak nota dan video pembelajaran mengikut subjek seperti English, Matematik dan Sains yang diajar guru berpengalaman.
“eKelas juga dapat mengurangkan kos dan masa untuk membeli buku nota. Video dan nota yang ada dalam portal eKelas ini dapat ditonton pada bila-bila masa dan di mana-mana kita berada.
“Selain nota dan video, eKelas juga mewujudkan program pembelajaran HIP English, kuiz daripada Abang Portal, tutorial secara langsung dan banyak lagi program yang menarik,” katanya.
Sementara itu, guru dari SMK Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, Tricia Lim Chuk Pin, berkata Pertandingan Bahasa Inggeris HIP StoryFest memang hebat.
“Menerusi eKelas, pelajar saya bukan sahaja dapat mencungkil bakat mereka, malah dua daripada mereka benar-benar memenangi pertandingan itu.
“Mereka melakukan tugasan itu sendiri dan saya amat berbangga dengan pencapaian mereka kerana mereka mengikut garis panduan, belajar daripada modul, video dan tip diberikan dalam pertandingan itu,” katanya.
eKelas juga menyediakan peluang untuk pelajar mengambil bahagian dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pertandingan STEM yang mendedahkan pelajar kepada aspek pengekodan, kemahiran berfikir kreatif dan mereka bentuk.
Pelajar yang mencapai kemajuan dalam peperiksaan mereka dan memenuhi kriteria ditetapkan boleh memohon untuk mendapat Anugerah Gemilang.
Program eKelas kini mempunyai lebih 54,000 pelajar yang mendaftar ke portal dan mempunyai sokongan dari lebih 1,050 sekolah di seluruh negara.
Maxis eKelas menggalakkan lebih ramai pelajar di Malaysia mendapat sokongan selepas sekolah secara percuma melalui program yang disediakan kerana ia menyediakan pendidikan berkualiti boleh diakses oleh semua.
Platform pembelajaran percuma untuk pelajar meningkatkan pelajaran mereka itu menawarkan pembelajaran dalam talian percuma dan akses kepada lebih dari 3,000 kandungan pembelajaran seperti nota, video dan soalan latihan, dan video persediaan peperiksaan.
Ternyata, program eKelas Maxis berjaya memberi manfaat kepada pelajar seluruh negara dan meningkatkan prestasi pembelajaran melalui alternatif digital.
Selain itu, program ni juga berjaya meningkatkan prestasi akademik pelajar, khususnya dari masyarakat luar bandar.
Untuk maklumat lanjut mengenai eKelas boleh melayari laman web eKelas.
© New Straits Times Press (M) Bhd