Ejen tarik kereta diserang, 7 lelaki ditahan

Ejen tarik kereta diserang, 7 lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Tawau: Tujuh lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan ketika melakukan urusan menarik kereta di sebuah stor penyimpanan kenderaan dekat Batu 5 Jalan Apas, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa diserang dan dipukul sekumpulan lelaki menggunakan batang paip.

Menurutnya, mangsa berumur 40 tahun yang bekerja sebagai ejen penarik kenderaan berdaftar dikatakan dihalang oleh suspek yang dikenalinya itu ketika hendak menyimpan sebuah kenderaan yang ditarik ke dalam stor berkenaan sebelum dipukul ramai-ramai.

“Dalam pergaduhan itu juga salah seorang suspek didakwa sempat mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam mangsa namun berjaya dielak.

“Mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan pada pada tangan kiri,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, susulan itu pihaknya berjaya mengesan kesemua suspek yang terlibat sebelum beberapa siri tangkapan dan rampasan barang kes dijalankan di beberapa kawasan sekitar di daerah ini, semalam.

Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati enam daripada mereka yang berumur antara 22 hingga 68 tahun itu pernah ditangkap dan disabitkan dengan pelbagai kes jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

“Motif sebenar kejadian masih disiasat dan kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top