Eilish dihina fizikal di media sosial

Eilish dihina fizikal di media sosial

London: Pelari jarak jauh Scotland, Eilish McColgan mendedahkan dirinya menjadi sasaran sindir badan di media sosial menjelang penampilan sulung dalam Maraton London hujung minggu ini, dan menggesa agar akaun media sosial dipautkan kepada pasport bagi menangani penyalahgunaan identiti.

Anak kepada bekas juara maraton 1996, Liz McColgan, berkata, matlamatnya Ahad ini adalah untuk menewaskan catatan masa peribadi ibunya iaitu 2 jam 26 minit 52 saat yang dicipta pada 1997.

Bagaimanapun, Eilish turut berkongsi detik mengecewakan apabila video latihannya yang dikongsi semula oleh ibunya Mac lalu menerima komen-komen yang disifatkan sebagai ‘menghina dan kasar’ – termasuk menuduhnya kelihatan seperti penghidap anoreksia.

“Saya sudah agak kebal. Komen-komen macam itu sudah bertahun saya terima. Ia bukan perkara baru,” katanya.

Lebih mengejutkan, katanya, ada individu yang menggunakan identiti sebenar termasuk seorang guru dan seorang lelaki bergelar bapa kepada tiga anak perempuan.

“Saya hubungi mereka kerana saya kecewa. Saya hanya bersuara dari semasa ke semasa sebab saya tahu ramai remaja ikut saya, dan saya tak nak mereka fikir saya berlari laju sebab saya kurus sebab menahan makan.”

“Saya nak orang tahu hakikatnya, kenyataan mereka tu langsung tak betul – ia bertentangan sepenuhnya.”

Eilish, juara 10,000 meter Sukan Komanwel, menegaskan mesej penting yang ingin disampaikan adalah kepentingan menjaga tubuh badan atlet secara sihat dan seimbang.

“Platform media sosial perlu diubah. Akaun perlu disahkan dan dipaut kepada pasport. Tapi saya tetap akan terus di media sosial untuk sampaikan mesej jelas.”

“Ramai budak mesej saya dan kata mereka dibuli di sekolah sebab rupa paras. Jadi bila mereka tengok saya yang sudah masuk usia 30-an pun masih dibuli, ia beri mereka semangat untuk lawan semula.”

Aksi Maraton London akan menjadi percubaan sulung Eilish dalam perlumbaan sejauh 42.195 kilometer dengan sasaran jangka masa panjang untuk bersaing di Olimpik Los Angeles 2028.

Β© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top