Penyanyi berasal dari Kelantan, Eda Ezrin yang kini ditahan di Penjara Narathiwat kerana didakwa memiliki pil Yaba meminta membuat solat hajat agar hukuman ke atasnya dapat diringankan.
Memetik Harian Metro, penyanyi berusia 30 tahun itu membuat rayuan itu kepada Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat yang melawatnya pada Sabtu lalu.
BACA: Empat Bulan Di Penjara, Eda Ezrin Turun Berat Badan, Faham Bahasa Thailand
Menurut Abdul Aziz, Eda meminta untuk berbuat demikian kerana tarikh hukumannya sudah semakin dekat iaitu pada Khamis ini.
“Saya pergi ke penjara itu selepas dijemput sebagai penceramah untuk program keagamaan di sana yang dihadiri hampir 500 banduan.
“Selepas program itu tamat, saya meminta penyanyi itu dan lima rakannya untuk bertemu saya secara peribadi kerana saya ingin memberi motivasi dan sedikit nasihat.
“Penyanyi itu kemudian meminta saya melakukan solat hajat untuknya dan lima rakyat Malaysia yang lain agar mereka mendapat hukuman yang ringan. Saya telah berjanji kepada mereka bahawa pegawai majlis juga akan turut serta dalam solat itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut memaklumkan keadaan Eda kini kelihatan kurus dan risau.
“Mungkin dia memikirkan tentang kesnya yang akan datang di Mahkamah Wilayah Narathiwat,” katanya.
Mahkamah Wilayah Narathiwat menetapkan tarikh 6 Mac sebagai keputusan kes penyanyi wanita itu bersama suami, Mohd Affendi Ahmad serta empat lagi rakan mereka.
Terdahulu, kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah memiliki sejumlah 6,059 biji pil yaba sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
SUMBER: Harian Metro