Econsave bekal 8,000 liter air bersih sehari bantu Gaza

Econsave bekal 8,000 liter air bersih sehari bantu Gaza

JOHOR BAHRU – Penderitaan penduduk Gaza di Palestin yang hilang tempat tinggal selain infrastruktur dan kemudahan asas musnah dibom rejim zionis sejak konflik Israel-Palestin tercetus Oktober lalu menjadikan kehidupan mereka semakin teruk.

Bukan sahaja bangunan awam antaranya sekolah, masjid dan hospital tidak lagi dapat digunakan tetapi juga kemudahan asas seperti bekalan elektrik serta rangkaian sistem bekalan air bersih musnah sama sekali.

Prihatin dengan situasi tersebut, Pasaraya Econsave (Econsave) tampil membantu membekalkan 4,000 hingga 8,000 liter air bersih setiap hari di sekolah dan kem-kem pelarian di Palestin.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, bantuan tersebut dilakukan menerusi projek Air Untuk Kehidupan yang dibiayai sepenuhnya oleh pasar raya berkenaan.

“Projek ini bermula pada bulan ini dan akan diteruskan hingga Ogos dengan sebanyak 4,000 hingga 8,000 liter air minuman diagihkan setiap hari.

“Pada masa ini, krisis kekurangan bekalan air minuman adalah antara masalah utama dihadapi penduduk Semenanjung Gaza. Ini berpunca kerana kekurangan loji rawatan air, gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bahan api yang digunakan untuk mesin penjana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia bersedia untuk membaiki atau membina semula sistem bekalan air bersih pasca konflik di Semenanjung Gaza.

Beliau menyampaikan perkara itu kepada Menteri Air Palestin Mazen Ghunaim, yang juga ketua Pihak Berkuasa Air Palestin, semasa pertemuan dua hala di luar mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia ke-10 yang berakhir hari ini, atas permintaan Mazen.

“Mereka melahirkan harapan agar Malaysia dapat memberikan pelbagai bentuk bantuan terutama bantuan teknikal selepas krisis semasa.

“Pada masa ini, bekalan air bersih di sana terjejas teruk dan terganggu,” ujar Fadillah lagi.

Mengulas lanjut, Mas Imran berkata, masalah tersebut telah menyebabkan berlakunya kenaikan harga air mendadak di negara itu menjadi lebih RM5 seliter.

Keadaan itu katanya, menyebabkan kanak-kanak terpaksa membawa botol berisi air seberat 20 liter ke kawasan yang jauh untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan keluarga mereka.

“Sehubungan itu, projek ini menjadikan urusan berkenaan lebih mudah dan selamat, iaitu mereka boleh mendapatkan bekalan air bersih dalam kuantiti banyak untuk kegunaan seharian,” jelasnya.

Pihaknya turut memastikan urusan agihan dibuat dalam keadaan teratur dengan menyediakan barisan khas untuk golongan wanita.

“Walaupun barisannya panjang, tetapi kami mendapat kepuasan apabila melihat wajah kegembiraan mereka setelah berjaya mendapat air bersih untuk kegunaan seharian,” katanya.-MalaysiaGazette