Ebby Yus hilang kata-kata, ingatkan Ajak bergurau hadiahkan restoran, siap serah gaji dan keuntungan

Ebby Yus hilang kata-kata, ingatkan Ajak bergurau hadiahkan restoran, siap serah gaji dan keuntungan

Pelawak, Muhammad Yunus Abdul Rashid atau lebih dikenali Ebby Yus hilang kata-kata apabila rakannya yang juga penyampai radio, Ajak menghadiahkan cawangan baharu sebuah restoran di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Ebby berkata, meskipun Ajak memberi kelonggaran berikutan masalah kesihatan dialaminya, namun dia akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Akui pelawak berusia 59 tahun, dia juga teruja untuk melihat sendiri pembukaan restoran berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya mesti bertanggungjawab. Walau dia kata saya tidak perlu bersusah-payah, tetapi saya kena ambil amanah untuk uruskan perniagaan ini.
“Kalau boleh, hari-hari saya mahu ke kedai,”kata Ebby Yus.

Ebby Yus hilang kata-kata

Ebby berkata, sebelum ini dia pernah berniagadan lebih suka berkomunikasi secara bersemuka dengan pelanggan.

Katanya lagi, dia juga enggan mengusahakan sesuatu perniagaan dengan hanya menggunakan nama artis semata-mata.

Bersyukur dengan rezeki, Ebby akui tidak menyangka kata-kata Ajak atau Mohd Hanafi Razak, 39, sebelum ini tentang cawangan baharu itu adalah benar dan bukannya satu gurauan.

“Dia pernah cakap kepada saya nak buka cawangan baharu dan serahkan kepada saya.
“Mulanya ingatkan sekadar gurauan sebab ia yang amat besar. Saya hilang kata-kata apabila dia menyerahkan kontrak berhubung perniagaan ini. 
“Ajak seorang rakan yang sangat baik. Saya kenal dia sudah lama sejak dia mula terlibat dalam industri,”jelas Ebby Yus.

Artikel lain: Restoran kedua bakal dibuka, Ajak Shiro serah gaji dan keuntungan kepada Ebby Yus

Ujar Ebby, dia akan cuba menyesuaikan diri menguruskan restoran memandangkan dia perlu melakukan rawatan dialisis di rumah.

Sebelum ini, Ajak memuat naik sebuah hantaran di laman Instagramnya membawa Ebby melawat kawasan cawangan baharu Bumbu Babah di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Dalam perkongsian itu, dia telah membuat kejutan untuk menghadiahkan cawangan kedua tersebut buat Ebby yang dikatakan bakal dibuka pada minggu hadapan.

Ajak yang juga pelawak memberitahu, dia juga menyerahkan gaji dan keuntungan kepada rakan baiknya dan keputusan itu diambil kerana mahu membantu meringankan beban Ebby Yus yang kini derita pelbagai penyakit kronik.

Sumber: mStar Online (Farol Hadi)

Scroll to Top