hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kecewa dengan hukuman ringan dikenakan terhadap salah laku Pegawai Memerintah, pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ia berhubung video tular memaparkan sebuah kapal agensi itu bertambat dengan bot nelayan Zon C, dikendalikan oleh awak-awak Vietnam di perairan Kelantan pada 7 Julai 2023.
EAIC berkata, terdapat salah laku oleh Pegawai Memerintah, pegawai dan anggota APMM berdasarkan fakta dan keterangan iaitu kapal APMM berkenaan sudah bertambat dengan bot nelayan Zon C tanpa kebenaran daripada kira-kira jam 8 malam hingga 3.40 pagi.
Menurutnya, susulan siasatan yang dijalankan berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Kapal APMM didapati menghantar laporan Kedudukan, Haluan dan Laju (KHL) serta Laporan Situasi (LS) yang mengandungi maklumat tidak benar kepada Maritime Operational Command (MOC).
“Borang penggeledahan yang dikeluarkan oleh kapal APMM mengandungi butiran palsu berkaitan pemeriksaan yang dilakukan terhadap bot nelayan Zon C.
“Tiada laporan dibuat mengenai insiden melepaskan tembakan semasa pengejaran bot nelayan asing Vietnam pada 12 Julai 2023.
“Pegawai dan anggota kapal APMM didapati sudah bertambat sebanyak dua kali dengan bot nelayan Zon C serta terbabit dalam aktiviti mencandat sotong dan memancing ikan, yang menimbulkan persepsi negatif dan mencemarkan imej pasukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, atas salah laku berkenaan, EAIC sudah mengesyorkan hukuman mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) APMM bagi tujuan tindakan disiplin terhadap Pegawai Memerintah termasuk turun pangkat atau buang kerja.
“Mengesyorkan syor hukuman mengikut Peraturan 36 P.U. (A) 395/1993 terhadap pegawai dan anggota kapal APMM bagi tindakan disiplin selain daripada turun pangkat atau buang kerja.
“Pegawai Siasatan EAIC sudah membuat laporan polis berhubung pengeluaran borang penggeledahan yang mengandungi butiran palsu dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi meneliti aspek jenayah komersial,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada APMM mengenai tindakan yang sudah diambil terhadap syor EAIC pada 15 Januari lalu.
Bagaimanapun katanya, PBT APMM tidak mengikut syor hukuman oleh EAIC dan sebaliknya memutuskan bahawa Pegawai Memerintah kapal APMM dikenakan hukuman denda (jumlah 7 hari emolumen), manakala pegawai dan anggota lain didapati tidak bersalah kerana bertindak mengikut arahan Pegawai Memerintah sahaja.
“EAIC amat kecewa dengan keputusan hukuman PBT APMM kerana EAIC berpendapat hukuman yang dikenakan adalah bersifat terlampau ringan dibandingkan dengan salah laku oleh Pegawai Memerintah, pegawai dan anggota kapal APMM terbabit yang tidak mencerminkan integriti semasa melaksanakan tugas.
“EAIC komited dalam memastikan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan agensi penguatkuasaan demi menjaga kepercayaan masyarakat terhadap sistem penguatkuasaan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd