Dybala wira Roma, Betis turut mara ke pusingan 16

Dybala wira Roma, Betis turut mara ke pusingan 16

Paris: Paulo Dybala menjadi wira AS Roma apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya bangkit menewaskan Porto 3-2 dalam aksi kedua pusingan kalah mati Liga Europa, awal pagi tadi.

Selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama di Portugal, Samu Aghehowa meletakkan Porto di hadapan dalam agregat, tetapi dua jaringan pantas daripada Dybala memastikan Roma kembali menguasai perlawanan.

Nasib Porto bertambah malang apabila pemain tengah Kanada, Stephen Eustaquio, dilayangkan kad merah pada awal babak kedua, sebelum Niccolo Pisilli menjaringkan gol ketiga yang menjadi pemisah dalam pertembungan ini.

Gol sendiri Devyne Rensch pada masa kecederaan tidak mencukupi untuk Porto, dengan Roma mara ke pusingan 16 menerusi agregat 4-3.

Skuad kendalian Claudio Ranieri itu akan mengetahui lawan mereka seterusnya sama ada Athletic Bilbao atau Lazio selepas undian dilakukan hari ini.

Sementara itu, kelab Norway, Bodo/Glimt, mencipta kebangkitan dramatik untuk menyingkirkan Twente selepas menang 5-2 dalam masa tambahan bagi melakar agregat 6-4.

Mereka kelihatan bakal tersingkir sebelum meledak dua gol pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Twente sempat mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan jaringan penyamaan saat akhir, namun Sondre Brunstad Fet menghidupkan semula harapan Bodo/Glimt dengan gol pada minit ke-111.

Twente semakin tenggelam selepas satu lagi gol sendiri memastikan kemenangan pasukan tuan rumah.

Di tempat lain, AZ Alkmaar mara dengan agregat 6-3 selepas seri 2-2 menentang Galatasaray di Turkiye, manakala FCSB dari Romania menang 2-0 di Bucharest untuk melengkapkan kemenangan agregat 4-1 ke atas PAOK dari Greece.

Dalam aksi Liga Konferensi, Real Betis layak ke pusingan 16 walaupun tewas 0-1 kepada Gent di laman sendiri.

Pemain pinjaman Barcelona, Vitor Roque, dilayangkan kad merah sebelum pemain England, Archie Brown, menjaringkan gol kemenangan untuk Gent.

Namun, Betis mara dengan agregat 3-1 dan bakal bertemu sama ada Chelsea atau Vitoria Guimaraes selepas undian dibuat.

Sementara itu, Copenhagen menyingkirkan Heidenheim dengan agregat 4-3 selepas menang 3-1 dalam aksi kedua di Jerman yang berlanjutan ke masa tambahan.

Pafos pula menang pertembungan sesama kelab Cyprus dengan menewaskan Omonia Nicosia 2-1 untuk mara menerusi agregat 3-2, manakala kelab Bosnia, Borac Banja Luka, mengatasi Olimpija Ljubljana 1-0 selepas aksi kedua tanpa jaringan di Slovenia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top