Dusuki berdepan saman RM1 juta – Mujahid

Dusuki berdepan saman RM1 juta – Mujahid

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Ahmad Dusuki Rani berdepan saman berjumlah RM1 juta selepas mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata, tindakan undang-undang sudah dimulakan kerana Ahmad Dusuki bukan sahaja menghina bahkan mempertikaikan keputusan mahkamah terhadap kesnya, baru-baru ini.

“Saya mendapati kenyataan Dusuki mempunyai unsur penghinaan dengan memperlekeh dan memutarbelitkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Pada 31 Ogos lalu, Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuan berhubung saman fitnah terhadap Mujahid menyindir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana dapat menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit Tabung Haji (TH).

Ahmad Dusuki menafikan kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah pada 28 Ogos lalu.

Rayuan Ahmad Dusuki itu membabitkan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.

Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor sebelum ini, menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Dusuki kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan berkenaan dengan kos RM7,000.

Dalam pada itu, Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir yang mewakili Mujahid juga telah mengeluarkan Notis Tuntutan bertarikh 6 September 2023 kepada Ahmad Dusuki.

Antara lain Mujahid menuntut agar Ahmad Dusuki memadamkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah atau mengelirukan dalam tempoh 48 jam.

“Ahmad Dusuki juga perlu berhenti memberikan sebarang kenyataan berunsur fitnah dan/atau mengelirukan terhadap saya; dan

“Ahmad Dusuki juga membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta kepada saya,” katanya.

Selain itu, peguam Mujahid melalui satu Notis bertarikh 5 September lalu turut telah menuntut Ahmad Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000.00 dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya Dusuki gagal mematuhi tuntutan-tuntutan itu, saya tidak teragak-agak akan teruskan dengan tindakan mahkamah termasuk prosiding menghina mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette